Muhammad Saufi Hassan


PEMBANGUN aplikasi mesyuarat maya, Zoom menafikan bahawa perisian itu mempunyai masalah kerentanan seperti yang dilaporkan di media sosial

Menerusi jawapan pembangun Zoom kepada Harian Metro menyatakan bahawa aplikasi berkenaan sudah mempunyai lapisan keselamatan dan pengguna.

Wakil jurucakap pembangun aplikasi berkenaan di negara ini menyatakan bahawa pihaknya sudah mengambil semua langkah keselamatan untuk menjamin aplikasi berkenaan adalah selamat.

“Zoom juga ingin menegaskan bahawa aplikasi berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan serangan perisian hasad (Malware) yang mengakibatkan debit automatik dilaksanakan dan perkara itu juga sudah dijelaskan oleh institusi perbankan berkaitan.

“Kelemahan Zoom merujuk kepada ciri yang membolehkan pengguna secara lalai untuk menetapkan mesyuarat Zoom sebagai umum. Ini membolehkan mana-mana pihak yang mempunyai pautan mesyuarat terbabit atau meneka identiti mesyuarat, boleh memasuki sidang video berkenaan,”

Menurutnya, Zoom juga sudah mendapatkan maklum balas daripada sebuah agensi kerajaan selepas tular surat rasmi yang mengaitkan aplikasi berkenaan.

“Pihak kami (Zoom) sudah menghubungi agensi kerajaan berkenaan untuk mendapatkan maklum balas dan menerusi emel agensi itu kepada Zoom menyatakan bahawa bahawa mereka (agensi berkenaan) tidak mengharamkan aplikasi itu dan surat pekeliling terbabit adalah edaran dalaman.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa pembangun perisian berkenaan bertindak proaktif untuk meningkatkan lapisan keselamatannya.

Memetik sebuah agensi, DHS dalam satu memo memuji tindakan Zoom dan berharap supaya sistem keselamatan diperkemaskan daripada semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 10:18 PM