Muhammad Saufi Hassan


PENGGUNA rangkaian telekomunikasi milik Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) boleh bersama-sama menghulurkan bantuan sekali gus sumbangan berkenaan akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha memerangi penularan virus Covid-19.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Digi, Joachim Rajaram berkata, ia adalah sebahagian daripada inisiatif 'Yellow Heart' syarikat berkenaan untuk membantu kerajaan dalam aspek dana bantuan kepada KKM.

"Pengguna rangkaian kami sama ada prabayar serta pasca bayar boleh melakukan sumbangan bernilai RM2, Rm5, RM10 dan RM20 untuk satu transaksi sumbangan menerusi aplikasi MyDigi yang sudah dipasang di peranti pintar mereka.

"Aplikasi ini adalah platform yang dijamin tahap keselamatannya dan semua sumbangan pengguna rangkaian kami akan disalurkan kepada pihak yang memerlukan terutamanya KKM untuk membuat perolehan kit peralatan perlindungan diri (PPE) dan sebagainya.

"Ini adalah sebahagian cara untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang terus memastikan penularan wabak ini dapat dihentikan tidak mengira penat dan lelah mereka," katanya dalam satu sidang video pelancaran Yellow Heart, sebentar tadi.

Joachim berkata, Digi sudah menyalurkan sumbangan berjumlah RM1 juta kepada KKM untuk tujuan yang sama dan berharap pengguna rangkaian berkenaan dapat bersama-sama membantu dalam usaha menangani virus terbabit.

Pengguna rangkaian berkenaan yang mahu melakukan sumbangan boleh memuat turun aplikasi MyDigi di Apple Stora atau Google Play Store.

Aplikasi berkenaan menawarkan cara mudah untuk melakukan sumbangan dan pengguna hanya perlu memilih tab untuk segmen ganjaran (rewards) serta memilih Kad Kempen Bantuan Yellow Heart Covid-19.

Selepas itu, pengguna boleh memilih empat pilihan amaun sumbangan dan menekan butang pengesahan (confirm).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 11:58 AM