Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Minggu lalu, kebanyakan pengguna yang menjadi pembeli terawal bagi kad grafik Nvidia GeForce siri RTX 3000 mengalami masalah ketidakstabilan perisian termasuk gangguan ketika permainan.

Wujud dakwaan daripada beberapa portal teknologi terkemuka bahawa ia berpunca daripada penggunaan kapasitor gred rendah.

Bagaimanapun, perkara itu disangkal oleh Nvidia sendiri menerusi satu kenyataan ringkasnya bahawa masalah ketidakstabilan bukan berpunca daripada perkakas kad grafik berkenaan.

Tetapi, ia berpunca daripada masalah versi perisian dan Nvidia sudah melaksanakan kemaskini baharu untuk perisian versi 456.55 sekali gus menambahbaik kestabilan ketika penggunaan.

Pada masa sama, pengeluar jenama kad grafik, Gigabyte turut mengesahkan bahawa kad keluarannya tidak menghadapi sebarang masalah perkakas dan ia hanya perisian yang tidak dioptimasi sepenuhnya.

Semua variasi kad grafik Gigabyte menggunakan perkakas berkualiti dan pengguna tidak perlu bimbang berhubung dakwaan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 11:49 AM