Acer Chromebook Spin 513
Acer Chromebook Spin 513
Muhammad Saufi Hassan

 

Sebanyak enam produk baharu daripada segmen industri serta pengguna termasuk model kemaskini diumumkan oleh Acer ketika majlis pengenalan global, [email protected], sebentar tadi.

  Dalam majlis pengenalan yang dibuat secara maya, Acer mengumumkan barisan baharu untuk produk ConceptD, laptop siri TravelMate, peranti Chromebook baharu dan pengenalan projektor LED.

  Acer turut mengumumkan enam produk baharu untuk barisan Predator dan model Nitro sekali gus mengukuhkan jenama kelas permainan mereka sesuai dengan fokus pengguna hari ini.

  Paling mencuri tumpuan adalah pengenalan pertama Acer Chromebook yang menggunakan platform komputasi Qualcomm Snapdragon 7c yang menawarkan kuasa prestasi mengagumkan.

  Untuk produk berkenaan, Acer memperkenalkan dua variasi Chromebook iaitu Acer Chromebook Spin 513 dan Chromebook Enterprise Spin 513 yang dikuasakan dengan Snapdragon 7c.

  Pengurus Besar Bahagian Notebooks, Produk Perniagaan IT Acer James Lin berkata, pengenalan Chromebook berkenaan adalah sesuai dengan keperluan pengguna hari ini.

  "Kami teruja untuk memperkenalkan produk ini terutamanya kuasa prestasi Snapdragon 7c yang sesuai untuk sebarang penugasan perisian tanpa sebarang masalah.

  "Peranti ini juga mudah dibawa ke mana saja memandangkan ia sememangnya direka dengan berat kurang 1.2 kilogram (kg) tanpa membebankan pengguna," katanya.

  Menyentuh aspek spesifikasi, pemproses peranti Chromebook Acer itu menggunakan binaan 8nm dengan teras okta Qualcomm Kryo 468 yang dipadankan bersama integrasi unit pemproses grafik Qualcomm Adrena 618.

  Acer Chromebook Spin 513 menawarkan jangka hayat bateri lebih 14 jam dengan kepenggunaan optimum dan ia sesuai untuk tugasan produktiviti mahupun pelajar.

  Saiz skrin 13.3 inci dengan Definisi Penuh (HD) bersama panel paparan IPS sesentuh.

  Peranti ini didatangkan dengan memori (RAM) 8GB binaan LPDDR4X SDRAM bersama kapasiti storan 128GB bersama-sama dengan sokongan USB3.2 Gen 1, DisplayPort dan pengecas USB.

  Tanda harga untuk Acer Chromebook Spin 513 dianggarkan RM2,000 dan versi Enterprise sekitar RM3,000.


 

Spesifikasi Acer Chromebook Spin 513

Pemproses: Qualcomm Snapdragon Kyro 468

RAM: 8GB LPDDR4X

Storan: 128GB

Skrin: 13.3 inci paparan IPS dengan sesentuh

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 10:41 PM