SYED Sadiq (kanan) bersama Collin.
ACARA berbasikal Projek57 diketuai oleh Syed Sadiq dan Collin bermula 6 Ogos.
SYED Sadiq (kanan) bersama Collin menyiapkan cenderahati untuk peserta kayuhan.
SYED Sadiq (tengah) dan Collin bincang dengan kakitangan pejabatnya.
DUA sahabat jalankan projek murni.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Keamanan dan keharmonian yang dikecapi rakyat negara ini seharusnya disyukuri dan usaha ke arah mengekalkannya wajar dilaksanakan semua pihak.

Ini kerana persefahaman antara kaum yang wujud sejak sekian lama membolehkan masyarakat berbilang bangsa duduk semeja tanpa ada rasa perbezaan antara satu sama lain.

Bagaimanapun, kewujudan anasir negatif yang menggugat perpaduan dengan provokasi perkauman dibimbangi terus menular dalam kalangan belia hingga satu tahap tiada lagi suasana keharmonian hidup berbilang bangsa seperti dikecapi sejak kemerdekaan negara.

Dua sahabat baik, Collin Swee dan Syed Sadiq Albar berasakan pentingnya galakan dan usaha berterusan untuk menjadikan Malaysia negara yang harmoni tanpa ada persengketaan antara kaum.

Usaha murni mereka melalui Projek57, iaitu perusahaan sosial yang memulakan langkah memupuk dan mempertingkatkan kesedaran mengenai kepentingan mempunyai semangat perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat Malaysia melalui acara berbasikal ke seluruh negara, Projek 57 Unity Ride.

Syed Sadiq berkata, projek itu bermula pada awal 2015, apabila dia dan Collin yang juga rakan perniagaan dalam syarikat kejuruteraan duduk bersama di kafe dan berbual mengenai isu polarisasi kaum dan ketegangan agama yang sering menjadi tajuk utama di negara ini.

“Selepas beberapa perbincangan, kami wujudkan projek itu dan ingin semua rakyat Malaysia sertai kami untuk sama-sama bangkit dari setiap perkara negatif yang boleh menjatuhkan perpaduan dan fokus kepada apa yang lebih hebat, menakjubkan serta indah mengenai negara ini.

“Kami memegang teguh visi Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman, iaitu masa depan kita bergantung pada berapa baiknya manusia pelbagai kaum boleh hidup bersama dan bekerja bersama.

“Kami ingin menjadi percikan bagi golongan yang berasakan tiada harapan untuk sedar mereka bukan hanya ada harapan bahkan harapan itu ada di tangan kita sendiri. Paling penting, kita dapat membuat perubahan bersama,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jom kayuh bersama!

Acara berbasikal Projek57 ini akan diketuai oleh Syed Sadiq dan Collin bersama-sama sekumpulan penunggang basikal, merentasi seluruh Malaysia bermula dari 6 Ogos hingga 16 September ini.

Ada sembilan perjalanan dalam acara ini dan penunggang berbasikal ini akan merungkai kisah menarik yang boleh dijadikan inspirasi daripada rakyat Malaysia di setiap pelosok negara termasuk di kampung serta bandar kecil.

Perjalanan ini juga akan berhenti di lokasi terpilih apabila Projek57 akan menganjurkan sama ada aktiviti yang menerapkan unsur perpaduan membabitkan anak muda dari universiti tempatan dan sekolah atau menyertai acara komuniti di sana.

Perjalanan Unity Ride akan bermula pada 6 Ogos, jam 7 pagi di Dataran DBKL, Kuala Lumpur dan orang ramai dialu-alukan menyertai perjalanan berbasikal sejauh 7km dalam bandar raya ini. Ia juga bersempena KL Car Free Morning yang akan berlangsung pada waktu dan tempat sama.

Menurutnya, projek itu turut membabitkan belia, sama ada dari sekolah, kolej, universiti atau masyarakat Orang Asli yang menjadi misi utama Projek57, mengingatkan mereka mengenai nilai asas negara kita ditubuhkan dan pada masa sama, memberi kesan kepada kehidupan orang yang kurang bernasib baik melalui pelbagai usaha dan sumbangan daripada penjualan barangan projek itu.

“Kisah kami hanya mengenai hubungan kepercayaan dan saling menghormati antara dua sahabat yang sudah menjadi rakan kongsi perniagaan selama lebih 15 tahun meskipun berlainan kaum.

“Kami mempunyai misi khas iaitu menyebarkan mesej cinta dan harapan kepada sesama rakyat Malaysia, dengan menjual satu juta kemeja-T dalam dua tahun,” katanya.

Rentetan daripada visi ini, perusahaan sosial ini juga berharap dapat mendekati seberapa ramai rakyat Malaysia di setiap pelosok negara melalui Unity Ride yang akan melalui kawasan bandar dan pedalaman di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Kongsi impian bersatu

Dengan adanya Unity Ride itu, mereka berharap warga Malaysia dapat hadir bersama dan berkongsi impian dan mesej yang akan kami sampaikan dengan orang lain untuk menjadi satu kelompok komuniti yang lebih baik.

“Kami memilih 1957 sebagai titik tumpuan bagi projek ini kerana ia merangkumi nilai kemajuan, perpaduan, kepelbagaian dan toleransi.

“Ia mengenai perlembagaan, nilai, kisah dan mesej yang dibawa sejak 1957. Ini bukan hanya mengenai hari (kemerdekaan) itu sendiri,” katanya.

Mereka berkata, perpaduan bukan satu perkara yang rakyat boleh ambil mudah malah ia tidak berlaku secara automatik, sebaliknya perlu dipupuk.

Sebab itu, katanya, menjadi tanggungjawab setiap orang untuk mengekalkannya seperti yang pernah kita kecapi pada zaman selepas kemerdekaan 60 tahun lalu.

“Kami sentiasa berminat untuk membuka peluang berkolaborasi bersama mereka yang mempunyai keghairahan dan semangat seperti kami dalam membina perpaduan yang kukuh sesama masyarakat dan kepercayaan terhadap negara ini.

“Semangat yang kami ada sekarang berkat sokongan yang tidak putus-putus dari insan yang mempunyai matlamat yang sama seperti kami,” kata Syed Sadiq.

Mengenai kemeja-T Projek57, Syed Sadiq berkata, ia 100 peratus buatan Malaysia dan berharga antara RM38 hingga RM42 dengan RM5 daripada setiap kemeja-T terjual akan disalurkan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Manakala 40 peratus daripada keuntungan syarikat akan disalurkan kepada program pemerkasaan ibu tunggal dan belia yang kurang bernasib baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 2:49 PM