DARI depan Rafiza, Marina dan Lyssa bergambar bersama helikopter.
DARI kiri Lyssa, Marina dan Rafiza memiliki kepakaran dalam bidang berbeza.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Semua orang mengimpikan mempunyai memori yang indah, unik dan menarik untuk dikenang sepanjang hayat. Lebih menarik jika memori yang disimpan itu hanya boleh dialami mungkin sekali dalam seumur hidup.

Itulah alasan yang menjadi tunjang kepada Marina Kenis, Lyssa Hamzah dan Rafiza Rahim berganding bahu mencipta idea serta kepakaran menubuhkan syarikat berasaskan ‘avi-lifestyle’, KHR Avi Services pada November tahun lalu.

Masing-masing mempunyai kepakaran dalam perniagaan yang berbeza, ada yang berpengalaman dalam dunia perundingan, pemasaran dan tidak kurang juga perniagaan runcit minyak serta gas.

Hasrat mereka hanya satu iaitu ingin memberi peluang kepada sesiapa saja yang berminat untuk mencipta memori dengan pengalaman mengagumkan sekali seumur hidup pada tarikh peristiwa penting mereka.

Memori untuk diingati selama-lamanya itu sesuai bagi individu yang mahu meraikan cinta, mencuba cabaran baru, melakukan gimik majlis pelancaran ataupun sebagai alat pemasaran yang unik.

Sesekali melihat suasana kota Kuala Lumpur dan kehebatan binaan KLCC dari udara menggunakan helikopter Cessna 172 pasti satu pengalaman menyeronokkan bersama insan tersayang melalui perkhidmatan Avi Tour.

Hanya empat penumpang berusia lima tahun ke atas yang dibenarkan menaiki helikopter termasuk juruterbang untuk menikmati keindahan pemandangan dari udara selama 30 minit atau bergantung kepada permintaan pelanggan.

Selain itu, terdapat juga perkhidmatan lain yang disediakan seperti Avi Jet dan Avi Karavan. Menariknya, mereka juga bekerjasama dengan sesetengah hotel seperti The Saujana Hotel Kuala Lumpur sebagai lokasi pertemuan sebelum dibawa menaiki helikopter yang dipandu juruterbang berpengalaman.

Cabaran usahawan, ibu

Hidupnya ketika kecil dulu susah, tinggal di rumah setinggan dan ibunya hanya berniaga nasi lemak di Negeri Sembilan. Namun, keenakan hasil air tangan ibunya itu dikenali peminat nasi lemak hingga ke luar negeri berkenaan.

Pada masa sama, setiap hari Marina, 43, akan membawa beg besar berisi nasi lemak ibunya ke sekolah untuk dijual kepada guru dan rakannya.

Tamat belajar, Marina tidak meneruskan perniagaan ibunya tetapi bekerja dalam dunia korporat. Selepas pengalaman dikutip, dia mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan sendiri dalam bidang khidmat nasihat.

Pernah juga dia mencuba bidang andaman serta makanan dan minuman, namun perniagaan berkenaan dirasakan tidak serasi dengan dirinya.

“Mulanya, saya ingin membuka perniagaan kerana mahu ada lebih masa untuk keluarga. Namun, sebenarnya ia silap kerana selepas menceburi perniagaan, saya perlu beri lebih masa kepada syarikat pula.

“Disebabkan itu, saya perlu membina kumpulan pekerja yang hebat dan meluaskan rangkaian perniagaan jika mahu bersaing dalam dunia yang mencabar ini.

“Walaupun memerlukan waktu yang lebih untuk syarikat, saya masih boleh uruskan masa mengikut keperluan, itulah yang menariknya apabila menceburi dunia perniagaan,” katanya.

Jelasnya, bermula daripada bawah dia belajar mengendalikan perniagaan dan kini lebih selesa memberi tumpuan terhadap perkhidmatan rundingan.

Selepas 10 tahun terbabit dalam dunia perniagaan, dia mahukan idea segar dan kreatif sekali gus bergabung kepakaran bersama Rafiza serta Lyssa untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih menarik.

Baginya, banyak persediaan yang perlu dilakukan untuk menceburi bidang perniagaan dan mengambil kira aspek masa, kewangan dan tenaga yang perlu dilaburkan.

Strategi yang unik boleh membantu menjadikan perniagaan yang diceburi tampak istimewa bagi mengelakkan persaingan. Rafiza, 38, juga mempunyai perniagaan runcit minyak dan gas.

Dia mengambil keputusan menyertai perniagaan berkenaan kerana percaya bukan mudah untuk mencipta memori indah yang akan dikenang sepanjang masa.

Setiap memori yang bernilai mampu mengubah ‘mood’ daripada bosan, dingin dan tidak dihargai kepada perasaan yang lebih gembira serta kepuasan berganda.

Apabila melihat kegembiraan pelanggan dengan khidmat yang ditawarkan, pastinya ia memberi kepuasan kepada dirinya sendiri dan juga rakan lain.

Wanita hebat ini memiliki lima anak yang berusia antara empat hingga 12 tahun. Dia juga sama seperti wanita lain yang ada kalanya berasa penat, namun apabila lima anaknya sudah semakin membesar keletihan itu semakin berkurang.

“Memang agak mencabar menjadi usahawan dan pada masa sama perlu menguruskan anak serta rumah tangga. Bagi memastikan masa digunakan sebaik-baiknya, saya akan dahulukan perkara penting dan memastikan waktu malam berada di rumah untuk bersama keluarga.

“Suami juga sibuk kerana bekerja dalam dunia korporat dan setahun sekali atau pada hujung minggu, kami akan mencari masa untuk melakukan riadah, melancong atau melakukan aktiviti bersama,” katanya.

Mahukan pembaharuan

Lyssa pula mempunyai kekuatan dalam bidang pemasaran apatah lagi dia sudahpun didedahkan dengan perniagaan keluarga sejak tamat pengajian lagi.

Pengalamannya menceburi perdagangan alat pendidikan selain makanan dan minuman membuatkan hatinya ingin berdikari menjalankan perniagaan sendiri.

“Saya mahu berdikari dan mahu cuba menceburi cabang perniagaan yang baru serta tidak ramai wanita yang mahu melakukannya. Selepas berbincang bersama Marina dan Rafiza, kami membuat keputusan untuk membuka perniagaan berasaskan ‘gaya hidup’ ini.

“Memang puas sebab saya dapat membuat keputusan bersama rakan kongsi berbanding sebelum ini dan menguruskan perniagaan sendiri secara sepenuh masa.

“Bagi saya tidak perlu takut untuk membuka perniagaan baru asalkan ada usaha yang gigih, beri komitmen, sentiasa kreatif dan jangan malu berjumpa sesiapa saja,” katanya.

Pada masa sama, sebagai usahawan perlu banyak bersabar, memiliki perancangan perniagaan dan dilengkapi pasukan yang betul. Perniagaan yang diuruskan seorang diri memang sukar untuk maju kerana setiap perniagaan memerlukan kerjasama berkumpulan.

Di dalam kamus kehidupan Lyssa, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bekerja makan gaji sebaliknya bercita-cita untuk menjadi ahli perniagaan sejak kecil lagi.

Ini kerana, sejak kecil lagi dia sudah didedahkan dengan perniagaan oleh arwah ayahnya yang banyak mengajar dirinya supaya tidak malu, putus asa dan memiliki rangkaian perniagaan jika ingin berjaya.

“Perniagaan tidak perlu menunggu masa sesuai untuk melakukannya kerana kita akan ketinggalan. Buat saja dan pastikan kesilapan lalu jangan diulang. Namun, pastikan fikir sebaiknya sebelum membuat sebarang keputusan dan perlukan mentor yang betul untuk berjaya dalam perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 12:01 AM