MOHD Fhairul Azizzy bersama dua isterinya dan anak tersayang.
ANAK kelahiran Segamat, Johor ini gigih berusaha mengubah nasib diri.
GIGIH berusaha dalam perniagaan dijalankan.
DARIPADA seorang pemandu lori, Mohd Fhairul Azizzy tekad mengubah nasib diri.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Daripada seorang pemandu lori, dia berusaha memperbaiki kehidupannya untuk menjadi lebih luar biasa, sekali gus membentuk kehidupan lebih selesa hasil usaha gigih sendiri.

Anak kelahiran Segamat, Johor ini sememangnya tidak mudah berputus asa untuk membuktikan dia juga mampu mengecapi kejayaan sama seperti individu lain melalui perniagaan dijalankan.

Menceritakan detik pembabitannya dalam dunia perniagaan, pemilik nama Mohd Fhairul Azizzy Ramli,32, berkata, dia menceburi bidang perniagaan atas dasar minat selain untuk mencabar dirinya mencuba sesuatu yang baru.

“Bukan senang untuk senang, untuk berada pada tahap kini, saya perlu melalui pelbagai suka duka dalam menerajui dua cabang perniagaan iaitu dalam bidang kesihatan dan kecantikan serta restoran.

“Namun, saya tetap bersyukur kerana apa yang diusahakan semakin menambahkan hasil namun ia tidak sesekali membolehkan saya mendabik dada dengan apa yang dikecapi kini,” katanya.

Mohd Fhairul Azizzy berkata, selain faktor minat, dia menceburi bidang perniagaan untuk bersama-sama berkongsi rezeki dengan individu lain terutama yang menjadi stokis, ejen dan kakitangannya.

“Saya tidak mahu terlalu selesa dengan sekadar ‘makan gaji’ dan disebabkan itu saya cabar diri berkecimpung dalam bidang perniagaan ini.

“Ternyata keputusan saya tepat kerana bidang ini banyak mengajar erti sebenar sebuah kehidupan terutama dalam me–ngendalikan perniagaan dan suka duka yang perlu ditempuhi,” katanya.

Menurutnya, dia gemar berdepan dengan cabaran yang perlu dilalui hari demi hari dalam memastikan perniagaan diusahakan semakin berkembang maju.

Ikuti temu bual bersama Mohd Fhairul Azizzy mengenai cabaran dan harapannya dalam mengendalikan Syarikat Superlab Asia Sdn Bhd dan Restoran Selera Nasi Beringin:

Soalan (S): Anda mengendalikan dua cabang perniagaan berbeza dalam satu masa, apakah antara cabaran yang perlu anda tempuh?

Jawapan (J): Saya pasti setiap cabang perniagaan itu pasti mempunyai dugaan tersendiri, bagi saya, antara dugaan atau cabaran yang perlu di tempuhi apabila kedua-dua perniagaan saya mengalami waktu ‘kurang untung’ pada bulan tertentu selain saingan sengit daripada pengusaha lain.

S: Mengapa anda memilih berkecimpung dalam bidang perniagaan yang tidak mempunyai pendapatan tetap setiap bulan?

J: Saya memilih berkecimpung dalam perniagaan atas tiga sebab utama iaitu minat yang tinggi, mahu berkongsi rezeki dengan stokis, ejen dan kakitangan selain suka pada cabaran baru setiap hari.

S: Jelaskan secara terperinci mengenai perniagaan yang anda jalankan?

J: Syarikat Superlab Asia Sdn Bhd menjual produk kesihatan dan kecantikan lelaki dan wanita manakala Restoran Selera Nasi Beringin menjual menu makanan yang terkenal di Johor satu ketika dulu.

S: Adakah anda berpuas hati dengan kejayaan kini?

J: Syukur, selepas berusaha gigih dan tidak kenal erti putus asa saya sangat berpuas hati dengan pencapaian yang dicapai kini.

S: Siapakah yang memberi anda sokongan dalam mengendalikan dua cabang perniagaan ini?

J: Individu yang banyak memberi sokongan dan dorongan adalah ibu bapa saya, dua isteri saya dan kedua-dua keluarga mentua serta rakan terdekat.

S: Nyatakan lokasi perniagaan anda?

J: Lokasi pernigaan yang saya jalankan adalah di Bandar Utama Segamat, Johor . Kedua-dua premis perniagaan ini bersebelahan antara satu sama lain.

S: Nyatakan harapan anda dalam bidang ini?

J: Harapan saya supaya perniagaan ini terus berkembang maju dan akan mempunyai cawangan di setiap negeri suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 3:52 PM