ELYA Shazleen tekad mahu berjaya dalam perniagaan diusahakan.
AMAT menggemari bidang kecantikan dan fesyen.
ELYA Shazleen meneliti antara koleksi tudung di butiknya.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Wanita berwajah manis ini bukan biasa-biasa orangnya. Mudah mesra dan sentiasa mengamalkan sikap merendah diri menjadikan anak kelahiran ibu kota Kuala Lumpur ini memiliki 1,001 keistimewaan dalam diri.

Pada usia 32 tahun kini, dia berjaya memiliki segala yang diimpikan setiap wanita iaitu keluarga bahagia, perniagaan yang baik dan kehidupan sempurna menjadikan Elya Shazleen Mohamed antara wanita wajar dicontohi.

Menerajui perniagaan berasaskan fesyen atas jenama Elyashazleen sejak 2012, dia kini memiliki sebuah butik di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya dan sebuah kilang di Bandar Baru Bangi selain aktif menjalankan perniagaan secara dalam talian.

Berkongsi kisah suka dukanya, Elya Shazleen berkata, dia memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang kewangan namun minatnya pada kecantikan dan fesyen mengatasi segalanya.

“Saya sukakan semua benda yang kelihatan cantik dan disebabkan itu sering pastikan penampilan kelihatan cantik walaupun dalam fesyen sederhana menjadi antara faktor tertubuhnya perniagaan ini.

“Saya sukakan gaya ringkas namun tampak elegan. Ramai rakan dan saudara-mara gemar dengan cara saya berfesyen dan bermula daripada itu, saya tekad memulakan perniagaan fesyen ini untuk berkongsi dengan wanita lain mengenai gaya yang tepat dengan diri,” katanya.

Menurutnya, untuk jenamanya, dia bukan saja menjual pelbagai jenis tudung, selendang dan busana malah sebagai pereka dalam setiap rekaannya.

“Kebanyakan idea saya terhasil daripada penyelidikan dan penelitian ketika saya melancong ke luar negara yang saya olah menjadi satu rekaan terbaik untuk jenama saya.

“Selain itu, ahli keluarga dan rakan daripada pelbagai negara menjadi antara pembantu setia saya yang turut berkongsi pelbagai idea menarik untuk menghasilkan satu rekaan lain daripada yang lain,” ujarnya.

Katanya, atas faktor itu dia yakin hala tujunya dalam bidang diceburi adalah tepat memandangkan dia berada dalam kelompok individu yang banyak membantu menyebabkan dia mampu bertahan hingga ke saat ini.

Bermula hanya dengan RM200

Siapa sangka, dengan kejayaan dimilikinya kini, wanita yang mempunyai dua cahaya mata ini memulakan perniagaan diusahakan dengan modal serendah RM200.

Elya Shazleen berkata, dia memulakan perniagaan pada penghujung 2012 dengan modal terbabit tanpa melakukan sebarang pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan.

“Syukur, berkat usaha gigih perniagaan yang saya usahakan, kini semakin berkembang maju dan dalam masa sama saya tidak menanggung bebanan hutang pinjaman untuk memulakan perniagaan.

“Bagi saya segalanya memerlukan perancangan, tidak semestinya perlu modal yang besar untuk memulakan perniagaan. Asalkan berusaha dengan gigih dan tahu apa yang anda mahukan pasti akan berjaya,” katanya.

Menurutnya, dia menggunakan sebaik mungkin modal yang dikeluarkan pada permulaan itu bagi memastikan segala urusan penting dapat diutamakan.

“Sejujurnya, saya memberikan sepenuh perhatian dan usaha dalam mengembangkan jenama ini, dalam setiap rekaan saya sentiasa mengikut perkembangan arus fesyen terkini selain gemar berkongsi idea dengan pelanggan.

“Memandangkan pelanggan adalah keutamaan saya, saya akan pastikan setiap kehendak pelanggan dapat dituruti terutama dalam menghasilkan rekaan terbaik untuk mereka,” ujarnya.

Elya Shazleen berkata, kini selain fokus kepada urusan butik, dia berusaha sebaik mungkin untuk menumpukan perhatian dalam perniagaan percetakan baju yang dijalankan di kilang miliknya.

“Dulu saya hanya perlu fokus pada perniagaan fesyen namun kini saya perlu lebih komited untuk membahagikan masa sebaik mungkin bagi memastikan perusahaan percetakan juga berjalan lancar.

“Saya yakin dengan adanya kesungguhan serta kesabaran segalanya dapat berjalan dengan lancar seperti yang dirancang serta diharapkan,”ujarnya.

Urus masa sebaik mungkin

Elya Shazleen yang menjadikan Datuk Siti Nurhaliza sebagai idolanya mengakui perniagaan yang diceburinya itu adalah hasil sokongan dan kerjasama ahli keluarganya yang tidak lokek berkongsi masa dan tenaga dalam menjayakan perniagaan itu.

“Saya amat bersyukur kerana dianugerahkan keluarga terutama ibu bapa yang amat membantu dalam semua urusan.

“Berkat kerjasama itu juga saya berjaya hingga ke tahap ini dan saya juga amat mengharapkan kejayaan dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Bergelar seorang ibu kepada dua cahaya mata yang masih kecil memerlukan Elya Shazleen komited dalam membahagikan masanya sebaik mungkin.

“Saya tidak boleh leka atau buang masa kerana setiap masa saya amat berharga. Baik untuk perniagaan juga untuk keluarga, kedua-duanya memerlukan saya untuk membahagikan masa dengan sebaiknya.

“Selain aspek pembahagian masa yang menjadi antara cabarannya, persaingan dalam pasaran fesyen yang semakin pesat turut memerlukan dia bergerak pantas bagi mendahului pesaing yang lain,” katanya.

Katanya, dalam perjalanan perniagaan, dia sentiasa mengharapkan perjalanan perniagaannya sentiasa dirahmati dan memberi sejuta manfaat kepada orang lain.

“Setiap individu mengharapkan kejayaan dalam apa juga bidang diceburi begitu juga dengan saya. Saya amat berharap jenama Elyashazleen semakin dikenali ramai terutama kepada penggemar fesyen.

“Saya tahu ia bukan sesuatu yang mudah tetapi yakin mampu merealisasikannya suatu hari nanti berkat kerja keras,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 4:25 PM