Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Potret ikon Malaysia seperti Tiara Jacqueline, Datuk Cef Wan, Madam Kwan dan selebriti Joe Flizzow yang tertera tulisan #Iamhomegrown diletakkan di sepanjang pentas peragaan bersempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2017, yang diadakan di Pavilion.

Di tingkat empat, butik FashionValet berubah menjadi lounge fesyen paling chic bersama perabot tajaan Recro Furniture. Sofa empuk di tengah-tengah butik disediakan khas untuk fesyenista yang inginkan berehat seketika selepas penat berjalan.

Jurusolek yang menggunakan kosmetik Nita dan Simplysiti leka melakar wajah model yang akan menuju ke pentas peragaan bagi menggayakan koleksi pakaian istimewa FashionValet.

Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Kreatif FashionValet Vivy Yusof sebagai peneraju acara fesyen terunggul di Malaysia, tahun ini FashionValet ingin memperkukuhkan lagi semangat rakyat Malaysia menerusi kempen #Iamhomegrown yang dijayakan 60 ikon Malaysia dalam pelbagai bidang dan latar belakang.

“Kempen ini diadakan bagi meraikan sumbangan individu sebagai warga negara Malaysia. Ia menampilkan lebih 60 ikon Malaysia termasuk Bront Palare, ahli muzik terkenal, Joe Flizzow, pereka fesyen Mimpikita dan Khoon Hooi serta ikon kulinari tersohor, Datuk Cef Wan dan Madam Kwan,” katanya.

Tambah Ketua Pegawai Eksekutif FashionValet, Fadzaruddin Anuar pula tanpa mengira bangsa, agama mahupun pandangan politik, ikon terkemuka ini bersatu bagi menyokong kempen berkenaan.

“Hanya satu perkara yang dapat menyatukan kita, tanpa mengira bangsa, agama mahupun pandangan politik; iaitu dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. Menerusi semangat cintakan tanah air ini maka lahirlah #Iamhomegrown dengan satu tujuan, merai sumbangan individu sebagai warganegara Malaysia dan mereka yang mengharumkan nama negara,” katanya.

Bagi menjayakan kempen ini FashionValet menerusi FV Basics menghasilkan koleksi berinspirasikan gaya jalanan dengan rekaan kemeja-T, jumper, jaket, gaun jumper labuh dan legging dengan tertera cetakan tulisan #IAMHOMEGROWN di setiap helaian pakaian.

Koleksi ini dihasilkan daripada kain kapas campuran dalam rona hitam dan putih. Bersandarkan estetika minimalis ia bakal menjadi pakaian asas bagi pencinta gaya jalanan. Rekaan sederhana memungkinkan ia digayakan setiap hari sama ada lelaki mahupun wanita kerana ia dapat menghadirkan rasa bangga si pemakai sebagai rakyat Malaysia.

Pada masa sama, FashionValet turut mengadakan peraduan OOTD (outfit of the day) dengan menawarkan hadiah percutian mewah, ditaja Club Med Cherating. Untuk maklumat lanjut boleh melayari Instagram FashionValet (@fashionvaletcom.

Koleksi #Iamhomegrown FV Basics merangkumi rangkaian saiz daripada S/M hingga M/L. Berharga antara RM59 hingga RM109, koleksi ini dijual di butik FashionValet dan di gerai sekitar Pavilion bermula 16 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 12:01 AM