Tuan Asri Tuan Hussein

Sudah seminggu Sukan SEA KL 2017 berlangsung di negara kita dan tahniah diucapkan kepada atlet kita yang berjuang habis-habisan di tengah gelanggang dalam acara masing-masing, semuanya demi Malaysia.

Setakat hari ini dengan baki cuma empat hari lagi sebelum kejohanan melabuhkan tirai, prestasi atlet negara amat membanggakan dan dilihat berada di laluan tepat untuk mencapai sasaran 111 pingat emas dan sekali gus muncul juara keseluruhan.

Apapun, saya juga melihat KL 2017 menghadirkan banyak pengajaran yang boleh dijadikan panduan di dalam kehidupan seharian. Paling ketara, kita ditunjukkan oleh atlet kita bahawa usaha gigih, bersama semangat perjuangan dan keyakinan tinggi adalah ramuan utama yang diperlukan untuk mencipta kejayaan.

Namun, pengajaran yang memberi kesan atau impak lebih besar kepada saya daripada KL 2017 bukan membabitkan aksi atlet di tengah gelanggang, sebaliknya ia berkaitan peristiwa yang berlaku di luar gelanggang.

Ia merujuk kepada kesilapan pada bendera Indonesia yang dicetak di dalam buku cenderamata dan kesilapan itu mula disedari serta diperkatakan ramai sehingga menjadi tular di dunia maya pada hari pembukaan KL 2017 iaitu 19 Ogos lalu.

“Majlis pembukaan yang sangat hebat oleh penganjur, tapi sayang awal-awal lagi Sukan SEA 2017 sudah rosak apabila berlaku kesilapan pada bendera Indonesia di dalam buku cenderamata. Memalukan!!!”

Itu mesej di dalam satu akaun rakan Twitter saya berserta gambar kesilapan bendera yang dimaksudkan. Mesej itu saya terima sebaik saja acara pembukaan KL 2017 berakhir, kira-kira jam 12 tengah malam 19 Ogos.

Dan sejak itu bermulalah ‘trending’ yang sedikit sebanyak mencalarkan keharmonian serta semangat setiakawan ASEAN amnya dan antara Malaysia dengan Indonesia, khususnya.

Ya, ia kesilapan yang tidak disengajakan dan tiada sebarang niat jahat. Namun, salah tetap salah dan tiada sebarang alasan boleh diterima untuk memadamkan kesalahan itu.

Justeru, saya memuji tindakan Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang terus mengadakan pertemuan dengan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi untuk menyatakan permohonan maaf secara rasmi

“Ini satu kesilapan sangat besar dan saya bagi pihak tuan rumah mohon maaf kepada Imam dan seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan besar ini,” kata Khairy pada sidang media selepas pertemuan tertutup kira-kira 20 minit itu.

Khairy selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) KL2017, berkata beliau juga mengarahkan semua buku cenderahati tidak lagi diedarkan dan edisi baru dengan pembetulan akan dikeluarkan.

Bagaimanapun, bukan mudah permohonan maaf itu diterima semua pihak. Sebahagian rakyat Indonesia di negara itu tetap beremosi menyuarakan bantahan, kutukan dan kecaman terutama menerusi media sosial.

Permintaan dan nasihat pemimpin nombor satu mereka Presiden Jokowi supaya perkara itu tidak diperbesarkan tidak diendahkan.

Lebih teruk lagi, ada juga rakyat Malaysia yang turut galak mengutuk penganjur KL 2017 berikutan kesilapan bendera Indonesia yang dicetak terbalik di dalam buku cenderamata itu serta menjadikannya sebagai isu politik. Justeru, inilah pengajaran paling besar yang saya pelajari daripada Sukan SEA KL 2017 untuk diterjemahkan di dalam kehidupan seharian.

Hakikatnya, manusia secara semula jadi lebih suka melihat keburukan berbanding kebaikan, kelemahan berbanding kelebihan dan kesilapan berbanding yang betul. Sekelumit dosa seolah-olah memadamkan seribu pahala.

Fitrah semula jadi manusia ini harus kita jadikan iktibar. Mulut tempayan boleh kita tutup, tapi bukan mulut manusia. Amat sukar untuk kita memperbetulkan kesilapan dan kelemaham orang lain tapi kita mampu melakukannya pada diri sendiri.

Oleh itu, berhati-hatilah setiap kali melangkah agar kita tidak melakukan kesilapan. Kesilapan kita mungkin kecil saja, tapi akan ada orang yang memperbesar-besarkannya.

Ada ketikanya, orang memang menunggu saja kita buat silap untuk diambil kesempatan dengan mengecam dan menelanjangkan segala kelemahan diri kita.

Kepada Khairy Jamaluddin, anggota MASOC dan setiap individu yang terbabit dalam penganjuran KL 2017, diharapkan anda semua tidak patah semangat. Anda sudah melakukan yang terbaik dan membanggakan negara.

Ambil iktibar dan pengajaran daripada insiden tersilap cetak bendera Indonesia ini. Terima kritikan secara terbuka dan berlapang dada, namun jangan biarkan pihak tertentu memanipulasi kesilapan itu untuk tujuan lain atau memperlekeh kewibawaan negara kita.

Kepada individu dan pihak yang suka sangat mencari dan memperbesar-besarkan kelemahan serta kesilapan orang lain, nasihat saya hentikanlah perbuatan itu.

Sedarilah, mengecam, mengutuk dan menguar-uarkan kelemahan orang lain sama sekali tidak akan menonjolkan anda sebagai individu yang hebat, malah sebaliknya.

Lagipun, jangan lupa apabila tiba masa kita menghadap Allah SWT kelak, kita tidak ditanya mengenai kelemahan orang lain tapi yang diambil kira kelemahan diri kita sendiri.

Jadi, cerminlah diri untuk mencari kelemahan sendiri. Hakikatnya, itu jauh lebih baik daripada sibuk mencanangkan kelemahan orang lain.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 9:23 AM