MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin  bersama perserta kursus selepas tamat perbarisan Majlis Penutup Kursus Asas Penguatkuasaan KPDNKK Siri 1/2016 di Padang Kawad Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta.
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama perserta kursus selepas tamat perbarisan Majlis Penutup Kursus Asas Penguatkuasaan KPDNKK Siri 1/2016 di Padang Kawad Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta.
Tan Sri Khalid Abu Bakar

Salam sejahtera buat pembaca budiman. Kita masih dalam siri Pusat Latihan Polis dan minggu ini, kita akan mengenali dengan lebih dekat tentang Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA).

Apabila darurat diisytiharkan pada 18 Julai 1948, kerajaan berpendapat Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berjuang bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menangani pemberontakan dalam negara.

Bagi menangani ancaman berkenaan, keperluan ilmu peperangan, sama ada dari aspek strategi mahupun taktik, memerlukan pembelajaran secara formal di samping pengalaman yang diperoleh semasa tugas.

Anggota polis yang turut dipertanggungjawabkan dengan tugas memerangi pengganas perlu dilengkapkan dengan ilmu peperangan gerila yang menjadi corak dan amalan perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM).

Untuk memastikan penentangan terhadap musuh mencapai kejayaan, pegawai dan anggota polis khasnya Pasukan Polis Hutan diberi latihan menerusi Pusat Latihan Pasukan Polis Hutan.

Sekolah Latihan untuk Pasukan Polis Hutan bermula dengan penubuhan ‘Jungle Warfare School’ di Sik, Kedah pada 1949.

Sekolah latihan ini turut melatih Pasukan Polis Khas (Special Constabulary), di mana pelatih yang tamat kursus ditempatkan di ‘Jungle Squad’.

Apabila ‘Jungle Squad’ diperbesarkan kepada ‘Jungle Company’, sebuah lagi sekolah latihan iaitu Sekolah Latihan Peperangan Di Hutan Persekutuan dan Pusat Pemulihan Sungai Buloh ditubuhkan pada 1951.

Sekolah ini mengendalikan Latihan Asas dan Latihan Pemulihan kepada anggota yang kurang berdisiplin manakala Sekolah Latihan Peperangan Di Hutan di Sik, Kedah mengendalikan latihan lanjutan.

Pada 1953, sebuah lagi sekolah latihan ditubuhkan di Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor iaitu Sekolah Latihan Pasukan Polis Hutan (SLPPH).

Dengan penubuhan ini maka Sekolah Latihan PPH di Sik dan di Sungai Buloh, Selangor ditutup. Seterusnya, pada 1964, Sekolah Latihan Pasukan Polis Hutan dipindahkan ke Kroh, Perak.

Pada 1967, sekolah latihan ini sekali lagi dipindahkan ke Kentonmen Ulu Kinta, Perak, di lokasi sekarang.

Pada 11 November 1997, ia dikenali pula sebagai Sekolah Latihan Pasukan Gerakan Am dan pada tanggal 22 September 2006, Sekolah Latihan Pasukan Gerakan Am ini dijenamakan semula kepada Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA).

PLPGA terbahagi kepada dua lokasi latihan iaitu di Briged Utara PGA, Ulu Kinta, Perak dan di Markas Latihan Luar (MLL), Tupah, Bedong, Kedah.

Penempatan di Ulu Kinta, Perak kira-kira 13 kilometer (km) dari bandar Ipoh manakala MLL Tupah pula terletak kira-kira 19km dari bandar Sungai Petani.

PLPGA Ulu Kinta, Perak mempunyai keluasan 546 hektar manakala MLL Tupah berkeluasan kira-kira 23 hektar.

Kursus yang dilaksanakan di Pusat Latihan PGA kepada pegawai dan anggota dalam PGA meliputi:-

KURSUS ASAS

i) Kursus Asas PGA (Pegawai);

ii) Kursus Asas PGA (Pegawai Rendah Polis (PRP);

iii) Kursus Asas Konstabel Orang Asli;

iv) Kursus Asas PGA (Konstabel Sokongan);

v) Modul PGA - Pengurusan Operasi Kadet Inspektor;

vi) Modul PGA - Pengurusan Operasi Kadet Sarjan;

vii) Kursus Asas Memandu Kereta Berat Kelas ‘E2’;

viii) Kursus Asas Memandu Kereta Berat Kelas ‘D’; dan

ix) Kursus Asas Menunggang Motosikal Berat Kelas ‘B’.

KURSUS PERINTAHAN

i) Kursus Kompeni Komander;

ii) Kursus Platun Komander;

iii) Kursus Platun Sarjan; dan

iv) Kursus Seksyen Komander.

KURSUS LANJUTAN

i) Kursus Latihan Jasmani (Pegawai/PRP);

ii) Kursus Ikhtiar Hidup (Pegawai/PRP);

iii) Kursus Ronda Pandu Arah (Pegawai/PRP);

iv) Kursus Pertempuran Mengesan (Pegawai/PRP);

v) Kursus Senjata Mendalam (Pegawai/PRP);

vi) Kursus Jerangkap Samar (Pegawai/PRP); dan

vii) Kursus Pengendalian Bilik Gerakan.

Pusat Latihan PGA adalah sebuah institusi latihan PDRM yang menitikberatkan latihan kemahiran dan mengambil pendekatan melatih pegawai kanan serta pegawai rendah polis (PRP) dengan taktik dan teknik semasa serta relevansi berkaitan penugasan PGA. Pihak PLPGA juga melaksanakan kursus yang bercorak praktikal bagi meningkatkan lagi prestasi keupayaan dan keberkesanan PGA sebagai satu usaha mempertingkatkan tahap dan imej Jabatan Kementerian Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

PLPGA diberi kepercayaan penuh mengendalikan kursus ‘Team Building’ kepada pegawai kanan daripada Jabatan Pengurusan PDRM, malah PLPGA diberi penghormatan mengendalikan Kursus Penyesuaian Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di mana peserta yang berjaya terpilih akan dihantar ke Misi Pengaman di bawah panji-panji PBB.

Selain itu, PLPGA juga terbabit sama dalam kursus ‘International Senior Police Officers Command Course’ bagi mengendalikan ‘Team Building’ yang merangkumi aktiviti ‘survival’ dan Ronda Pandu Arah kepada peserta yang terdiri daripada pegawai tertinggi polis dari negara benua Afrika, Timur Tengah, Asia dan Asia Tenggara serta daripada PDRM sendiri.

Saya juga bangga kerana PLPGA turut diberi kepercayaan bagi melaksanakan kursus luaran, membabitkan lain-lain kementerian atau agensi kerajaan seperti berikut:

i) Kursus Asas Penguatkuasaan bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan (KPDNKK) yang mengambil masa satu bulan. Pegawai dan Anggota KPDNKK diwajibkan hadir kursus ini bagi tujuan pengesahan jawatan;

ii) Kursus Asas Polis Bantuan bagi agensi dari luar seperti Petronas, Tabung Haji Malaysia, AEON CO. (M) Sdn Bhd, Prasarana Malaysia Berhad dan Public Bank Berhad. Kursus dua bulan ini adalah syarat yang dikenakan kepada pegawai dan anggota polis bantuan untuk berkhidmat dengan agensi berkenaan;

iii) Kursus Pengenalan Modul PGA kepada Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) yang terbabit dengan pasukan beruniform bagi semua universiti. Kursus ini memakan masa satu minggu di mana peserta diberi kelebihan memohon jawatan sebagai Pegawai Kanan PDRM; dan

iv) Latihan Certified Security Guards (CSGs) yang mengambil masa enam hari dan program Remaja Berwawasan (Summer Camp) selama lima hari, di bawah Program Strategi Lautan Biru Negara(NBOS).

Malah banyak lagi jabatan dan agensi luar yang menghantar staf mereka berkursus di PLPGA, termasuk Jabatan Veterinar Malaysia, Jabatan Perlindungan Saksi, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Jelasnya, PLPGA sebuah institusi latihan yang berwibawa dan terlatih bagi menggilap individu di bawah latihannya menjadi seorang yang lebih berketerampilan, berdisiplin dan berilmu.

Syabas PLPGA!

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 7:32 AM