Tan Sri Khalid Abu Bakar

Pembaca yang saya sanjungi. Minggu ini minggu terakhir kita akan bersama dalam ruangan yang menjadi santapan kita tiap Sabtu selama hampir tiga tahun kerana saya akan menjalani persaraan wajib pada 4 September 2017.

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana ditakdirkan untuk menjadi seorang pegawai polis, kerana ia satu profesion yang mulia. Saya diberi peluang untuk berjihad ke jalan Allah SWT melalui tanggungjawab hisbah ke atas saya sebagai khalifah di muka bumi ini, untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Sepanjang perkhidmatan saya, tidak sekalipun pernah saya kesali keputusan untuk menjadi seorang pegawai polis, yang saya buat ketika berumur 19 tahun.

Semakin saya mendekati garisan penamat, saya sedar itulah keputusan terbaik yang pernah saya buat seumur hidup saya.

Bermula dengan langkah pertama saya di dalam pasukan, saya dibimbing dan diasuh pegawai atasan yang saya anggap sebagai mentors and are instrumental in shaping my career.

Malah saya juga amat bernasib baik kerana mendapat pegawai bawahan yang sentiasa menyokong dan membantu saya dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.

Saya sudah mendedikasikan 75 peratus atau dua pertiga dari umur saya untuk pasukan dengan berpegang kepada satu istiqamah iaitu KESETIAAN.

Saya yakin apabila wujud taat setia, komitmen menjadi pendampingnya dan Insya-Allah kejayaan akan menyusul.

Saya sudah lakukan yang terbaik sepanjang perkhidmatan saya, dengan penuh rasa tanggungjawab dan kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Sehubungan itu, saya mampu berdiri tegak dan merasa bangga untuk menyatakan bahawa apabila meninggalkan pasukan kelak, saya tidak ada apa-apa lagi yang tertunggak atau unfinished business.

Sebelum saya berundur diri dariPADA persada awam, saya ingin meninggalkan secebis coretan amanat kepada seluruh warga PDRM yang selama ini menjadi keluarga saya.

Saya berharap dengan adanya kata-kata peninggalan ini, PDRM dan masyarakat dapat saling memahami antara satu sama lain, saling hormat menghormati dan saling bantu membantu dalam mengekalkan keamanan negara dan kesejahteraan awam. Sesungguhnya, ia tanggungjawab kita bersama.

Sesungguhnya, keamanan negara dan kesejahteraan rakyat yang dikecapi ketika ini, tidak mungkin tercapai tanpa pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang sejak dulu, tidak pernah berundur walau selangkah ke belakang, dalam mempertahankan bumi tercinta ini daripada ancaman musuh.

Ibarat perisai dan pedang negara, kitalah benteng paling ampuh, yang gagah menggalas amanah untuk mempertahankan keselamatan dan kedaulatan Malaysia.

Keamanan dan kedamaian yang kita kecapi ini, tidak seharusnya membuatkan kita leka dan alpa kerana musuh dan penjenayah sentiasa mencari peluang dan ruang untuk meneruskan agenda jahat mereka.

Justeru, kesiapsiagaan kita mestilah sentiasa berada di tahap yang tertinggi dalam apa jua situasi.

Adakalanya, rakyat mengambil mudah kenikmatan hidup sekarang dan lupa bahawa keamanan yang wujud ini adalah hasil keringat dan darah anggota pasukan keselamatan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi agama, bangsa dan negara.

Generasi muda yang tidak pernah merasai getirnya zaman darurat, mungkin gagal memahami nilai keamanan dan mengambil mudah apa yang dikecapi ketika ini.

Mereka mungkin tidak dapat menggarap erti sebenar sebuah pengorbanan.

Kita sanggup dibakar terik mentari, bermandi peluh demi kesejahteraan masyarakat. Kita bersedia bersengkang mata di kala orang lain lena dalam pelukan keluarga.

Bahkan, kita rela berada di hutan belantara dan perbatasan negara di kala takbir memecah hening 1 Syawal.

Itulah erti sebuah pengorbanan yang tidak pernah minta dibalas. Kita hanya mengharapkan sokongan dan doa, semoga kita sentiasa berada di bawah payung lindungan Allah SWT, dan terus mampu berjuang, demi memikul amanah dan tanggungjawab kita kepada Raja dan Negara.

Sudah menjadi lumrah manusia, yang cepat lupa kepada kebaikan apabila berlakunya keburukan, walaupun sekelumit. Masyarakat juga lebih mudah menghukum daripada memuji. Maka, segala kejayaan yang kita tempa di perbatasan tidak akan kekal disanjung, jika kita gagal menjaga imej pasukan di mata masyarakat.

Kita harus akui disebabkan nila setitik, maka rosaklah susu sebelanga. Disebabkan seekor kerbau yang membawa lumpur, maka habis semuanya terpalit dan tercemar.

Maka terhapuslah kemarau setahun dek hujan sehari, dan puji menjadi keji.

Namun, hakikat ini tidak seharusnya melemahkan semangat kita untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Malah, ia harus dijadikan pembakar semangat untuk kita buktikan bahawa, dalam setandan pisang, bukan semuanya busuk, dan kita tidak seharusnya diibaratkan sebagai telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semuanya.

Sehubungan itu, saya menyeru warga PDRM terus membulatkan tekad dan komitmen, untuk meningkatkan disiplin dan memelihara integriti diri, serta mematuhi standard yang sudah ditetapkan demi menjaga maruah pasukan.

Janganlah sesekali mudah mengalah kepada dugaan hawa nafsu yang akhirnya akan merosakkan diri dan institusi PDRM yang kita sayangi ini. Lebih penting lagi, janganlah digadai kedaulatan negara atas apa-apa sebab atau alasan sekalipun. Ini adalah negara kita dan kita harus bersedia untuk mempertahankannya sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Saya yakin, seluruh warga PDRM akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada negara dan masyarakat. Walau apapun persepsi negatif yang wujud terhadap kita, saya yakin kita tidak akan menodai sumpah keramat yang kita ulangi saban tahun pada tanggal 25 Mac, untuk mempertahankan negara sehingga ke titisan darah yang terakhir. WE WILL DEFEND THE COUNTRY OR DIE TRYING.

Saya juga yakin, kita semua akan sentiasa berdiri teguh dengan ikrar taat setia kepada pasukan dan bernaung di bawah panji Sang Saka Biru untuk menjaga keselamatan negara dan kepentingan masyarakat. Saya menyeru kepada semua pegawai dan anggota, untuk terus bersama-sama kepemimpinan tertinggi PDRM, dalam usaha menambah baik mutu perkhidmatan kepada masyarakat.

Kepada masyarakat, saya berharap akan terus bersama-sama PDRM dalam usaha mewujudkan sebuah negara yang aman, bebas dan berdaulat. Janganlah disebabkan segelintir yang bersikap buruk, seluruh pasukan PDRM dihukum dan dicemuh.

Percayalah, masih ramai lagi yang komited, beramanah, berintegriti, tulus dan ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab mereka, dan sanggup berkorban jiwa dan raga untuk kepentingan rakyat dan negara.

Saya cukup bersedia untuk melalui kehidupan baru sebagai orang awam, apabila tiba saat dan ketikanya untuk saya bersara mulai 5 September 2017 nanti.

Saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana sudah dipanjangkan umur dalam kesihatan yang baik, bagi membolehkan saya kembali memberikan tumpuan sepenuhnya kepada keluarga, selepas tempoh perkhidmatan saya berakhir.

Apapun saya akan tetap bersama PDRM dalam meneruskan perjuangan untuk menjaga kepentingan negara dan masyarakat, dengan cara saya sendiri.

Ke mana jua saya melangkah dan di mana jua saya berada di bumi Allah SWT ini, PDRM akan tetap di hati saya.

Saya berdoa ke hadrat Allah SWT semoga diberikan hidayah, kekuatan iman dan kesihatan yang baik, kepada seluruh warga PDRM dan diletakkan mereka di bawah payung lindungan-Nya setiap masa, supaya mereka dapat memikul beban tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita bersatu hati dalam mengekalkan keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi selama ini.

Pejuang bangsa sudah berjaya menuntut kemerdekaan daripada penjajah dan era mengisi kemerdekaan digiatkan dengan usaha untuk membangunkan negara. Kita sekarang berada di dalam era untuk mengekalkan kemerdekaan yang dinikmati ketika ini dan adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan kita tidak akan kembali dijajah dalam apa jua bentuk belenggu, yang boleh menghilangkan harga diri kita sebagai rakyat sebuah negara berdaulat.

Kepada pembaca Harian Metro yang bersama saya selama ini, TERIMA KASIH ATAS SEGALANYA.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 9:34 PM