NAJIB ketika sidang akhbar bersama media tempatan selepas ASEM di Milan, Itali, semalam.

Milan (Itali): Tragedi berganda yang menimpa Penerbangan Malaysia (MAS) berikutan kehilangan pesawat MH370 dan nahas MH17 serta pendirian Malaysia berhubung insiden berkenaan antara perkara yang dikongsi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di pentas Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) ke-10 di sini.

Najib juga berkesempatan merakamkan penghargaan kepada negara yang memberi sokongan kepada Malaysia untuk menduduki kerusi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) ketika membuat intervensi di ASEM selain menyentuh isu berkaitan kumpulan Negara Islam (IS).

Malaysia memperoleh 187 undi dari 192 negara anggota PBB bagi menduduki satu daripada kerusi tidak tetap UNSC itu.

Ketika melakukan intervensi pada sidang itu, Najib berkata, Malaysia akan turut bersama-sama dengan negara lain untuk mengambil tindakan yang difikirkan patut bagi memerangi IS.

“Saya juga sebut tindakan ketenteraan saja tidak boleh memberi penyelesaian yang tuntas, tetapi kita perlu juga memahami dan memerangi ideologi kefahaman yang berkaitan dengan kumpulan ini.

“Kita mesti juga memaparkan pengertian Islam yang sebenarnya dan konsep kesederhanaan dipelopori Malaysia yang ada kaitan dengan prinsip perseimbangan,” katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir beliau di sini kelmarin, bagi menghadiri ASEM dan mesyuarat berkaitan sebelum pulang ke tanah air.

Lebih 50 pemimpin dari Asia dan Eropah berhimpun di Itali untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEM selama dua hari bagi membincangkan isu penting dalam sidang bertemakan ‘Perkongsian Bertanggungjawab bagi Pertumbuhan dan Keselamatan yang Mampan’.

Pada pemukiman pemimpin Asem pula, Najib berkata, banyak isu dibincangkan secara terbuka antaranya berkaitan ancaman terrorisme, ekstremisme, IS serta perkara yang patut dilakukan negara Eropah dan Asia mengenainya.

Isu Ukraine dan isu pertikaian maritim di Laut China Selatan juga antara yang dibincangkan pada pemukiman itu.

Selain menghadiri mesyuarat dan forum berkaitan ASEM, Najib juga menghadiri beberapa siri pertemuan dan perjumpaan dua hala dengan pemimpin yang menghadiri ASEM antaranya dari Norway, Jerman, Slovenia, Sweden dan Hungary.

Katanya, Perdana Menteri Hungary Viktor Orban menawarkan biasiswa untuk 40 hingga 50 pelajar Malaysia untuk belajar di negara itu selain memaklumkan akan membuka semula pejabat kedutaan di Kuala Lumpur awal tahun depan setelah ditutup seketika.

Canselor Jerman Angela Merkel dan Perdana Menteri Slovenia Mirolav Cerar pula menjemput Najib melakukan lawatan rasmi ke negara mereka.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, Kabinet akan berbincang pendekatan sesuai untuk melaksanakan perundingan negara bagi meneruskan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU).

Beliau berkata, sebelum rundingan FTA Malaysia-EU memasuki pusingan selanjutnya selepas lapan pusingan diadakan, perunding negara perlu mendapatkan mandat baharu daripada kerajaan.

“Bila berbekalkan mandat baharu, baru boleh merundingkan perkara ini,” katanya. — BERNAMA.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:09 AM