DARI kiri Tajuddin, Fadillah, Ahmad Zahid, Hishammuddin, Muhyiddin, Noorainee dan Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah ketika istiadat pengurniaan darjah kebesaran, semalam.

Pekan: Seramai 80 individu menerima darjah kebesaran dan pingat sempena memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah ke-84, di Istana Abu Bakar, di sini, semalam.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyempurnakan pengurniaan darjah kebesaran dan pingat kepada penerima diketuai isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Seramai 21 penerima SSAP termasuk isteri Menteri Besar Pahang, Datin Seri Junaini Kassim; Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Amrin Awaluddin; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani.

Penerima SSAP lain adalah isteri Menteri Pertahanan, Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah, isteri Menteri Dalam Negeri, Datin Seri Hamidah Khamis dan isteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Corporation Berhad, Datuk Syed Faisal Albar.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Ir Ahmad Husaini Sulaiman, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan, Datuk Dr Abdul Rahman Abd Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Zohari Akob, Ketua Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Dr Hasmiza Othman; Pengarah Urusan Back Up Capital Sdn Bhd, Datuk Zamri Ramly, Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Bhd, Datuk Robin Tan Yeong Chin dan Pengarah Urusan IPMUDA Berhad, Datuk Lim Heng Suan.

Tujuh penerima Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk termasuk isteri Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Puan Sri Umi Kalsom Wan Awang, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), Puan Sri Dr Imran Ibrahim dan Ketua Eksekutif FELDA Global Ventures Holdings Berhad, Mohammed Emir Mavani Abdullah.

Sementara itu, 10 penerima Darjah Sultan Ahmad Shah (DSAP) yang membawa gelaran Datuk antaranya Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Shamsul Bahri Ibrahim; Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Senior Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff dan Penasihat Kelab Putra 1Malaysia, Zainudin Karjan.

Antara 20 penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk adalah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan DRB Hicom Berhad, Ahmad Fuaad Kenali, Pegawai Daerah Bera, Shamsuin Shah Mohd Said dan Pegawai Daerah Bentong, Azhar Arshad.

Tengku Mahkota Pahang turut mengurniakan pingat Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) dan Setia Mahkota Pahang (SMP) masing-masing kepada tiga penerima, diikuti empat penerima pingat Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP), lima pingat Ahli Mahkota Pahang (AMP), Pingat Kelakuan Terpuji (tiga) dan Pingat Jasa Kebaktian (empat).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:04 AM