Skip this ad x
NOOR Rashid (kanan) menunjukkan kereta yang digunakan sindiket dadah berkenaan.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Lagak tidak ubah seperti jutawan minyak apabila sekumpulan pengedar dadah warga Iran dikesan tinggal di kediaman bernilai jutaan ringgit di Desa Sri Hartamas di sini, selain memiliki deretan kereta mewah.

Kumpulan sindiket dadah syabu ini dikesan mampu hidup kaya hasil daripada kegiatan menyeludup syabu melalui beberapa pelabuhan dalam negara sejak lebih tiga bulan lalu.

Difahamkan sindiket itu mampu memiliki kereta mewah pelbagai model antaranya Mercedes Benz, Volvo dan Volkswagen selain menyimpan barang kemas dan wang tunai dianggarkan lebih RM1 juta ringgit.

Kegiatan sindiket didalangi salah seorang daripada mereka bertaraf ‘raja dadah’ bagaimanapun ditumpaskan selepas sepasukan anggota Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima lelaki dan dua wanita warga Iran serta seorang wanita tempatan dalam tiga serbuan berasingan di ibu negara pada Rabu dan Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam serbuan pertama jam 2 pagi Rabu lalu, seorang lelaki ditahan di Lebuhraya Penchala Link di sini, hasil risikan sejak sebulan lalu.

“Penahanan lelaki itu membawa kepada serbuan di kondominium mewah di Desa Sri Hartamas di sini, sebelum polis menahan dua lelaki bersama seorang wanita tempatan.

“Hasil soal siasat, pasukan Sting menyerbu sebuah lagi kondominium mewah di Jalan Kuching di sini, yang turut dijadikan stor penyimpanan syabu. Empat suspek termasuk dua wanita warga Iran turut diberkas,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:19 AM