Kuala Lumpur: “Lega apabila dapat panggilan daripada pihak Hospital Kuala Lumpur mengatakan anak saya sihat dan mendapat rawatan di situ,” kata Zanzalina Mustafa, 39, ibu kepada Mohd Daniel Hakim, 9, yang hilang daripada rumahnya di Taman Dagang Jaya, Ampang sejak pagi Isnin lalu.

Zanzalina berkata, sejurus laporan anaknya disiarkan akhbar ini kelmarin seorang doktor menghubungi dan memintanya datang ke hospital untuk pengesahan.

“Saya terus bergegas ke HKL. Alhamdulillah, bila hampir dengan katil wad hospital, saya tahu, dia anak saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, anaknya itu ditemui seorang anggota polis ketika merayau-rayau di sekitar Kuala Lumpur pada jam kira-kira 8 malam pada hari kehilangannya.

“Mujurlah anggota polis terjumpa dan terus membawanya ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Menurutnya, anaknya kini sihat namun masih perlu ditempatkan di hospital bagi menunggu pemeriksaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan mengenai Mohd Daniel Hakim yang menghidap autisme yang hilang dari kediamannya pada pagi Isnin lalu.

Kehilangannya itu disedari apabila Zanzalina melihat keadaan pintu bilik anaknya itu dalam keadaan terbuka tidak seperti sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 7:03 AM