MANGSA menerima rawatan di hospital swasta akibat ditetak.

Petra Jaya: “Maaf, kami tersalah orang,” kata seorang daripada empat penjenayah yang tersilap menetak seorang lelaki menggunakan parang dalam kejadian di tempat letak kereta Taman Sukma, di sini, kelmarin.

Kejadian jam 2.30 petang itu mengakibatkan mangsa berusia 34 tahun cedera di tangan dan kaki sebelum dihantar menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Batu 3, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, selepas suspek menyedari tersilap sasaran, salah seorang daripada penjenayah berkenaan menghantar mangsa ke hospital terbabit.

Roslan berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakan berada di lokasi kejadian dan terserempak empat lelaki masing-masing membawa parang.

“Suspek kemudian menghalang kereta mangsa menyebabkan dia dan rakan keluar melarikan diri. Bagaimanapun, cubaan mangsa melarikan diri gagal menyebabkan dia ditetak penjenayah terbabit.

“Selepas mencederakan mangsa, barulah suspek sedar lelaki itu bukan sasarannya. Salah seorang suspek meminta maaf dan segera menghantarnya ke hospital.

“Mangsa berkata, dia tidak mengenali semua suspek selain tidak tahu apakah punca sebenar dia diserang,” katanya.

Menurutnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Gita, di sini, pada jam 9.43 malam, kelmarin.

Katanya, dua suspek berjaya ditahan di sekitar bandar raya ini pada jam 4 petang, semalam, manakala dua lagi sedang diburu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 6:27 AM