Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Anak warganegara asing yang lahir dan mempunyai sijil kelahiran negara ini tidak akan menjadi warga Malaysia secara automatik, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Sulaiman Keling.

Beliau berkata, taraf kewarganegaraan seseorang ditentukan berdasarkan taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung serta taraf perkahwinan ibu bapanya semasa kelahiran berlaku.

“Jika ibu bapa bukan warganegara atau pemastautin tetap semasa kelahiran, kanak-kanak itu berstatus bukan warganegara Malaysia.

“Sehubungan itu, kanak-kanak yang lahir di Malaysia dan mempunyai sijil kelahiran negara ini tidak membuktikan seseorang itu bertaraf warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sulaiman berkata, JPN bertanggungjawab mengeluarkan dokumen pengenalan diri bagi semua penduduk di Malaysia yang meliputi sijil kelahiran; sijil anak angkat; kad pengenalan; sijil perkahwinan bagi pasangan bukan Islam; sijil warganegara bagi mereka yang diluluskan oleh kerajaan dan sijil kematian untuk memenuhi keperluan keselamatan, kesejahteraan dan pembangunan negara.

Katanya, setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia mesti didaftarkan sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Seksyen 7 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

“Mengikut akta itu dinyatakan semua kelahiran yang berlaku di Malaysia wajib didaftarkan tanpa mengira status kanak-–kanak itu.

“Perkara ini juga seiring dengan ketetapan Konvensyen Hak Kanak-–Kanak anjuran Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menghendaki setiap kanak-–kanak yang dilahirkan hendaklah didaftarkan kelahirannya dengan segera tanpa diskriminasi,”katanya.

Beliau berkata, bagi memudahkan agensi lain mengenalpasti status kewarganegaraan kanak-–kanak melalui sijil kelahiran, JPN sudah mengeluarkan sijil kelahiran berbeza warna mulai 1 Julai 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:09 AM