NURUL Iman (kiri), Surendra (tengah) dan Edna menunjukkan anugerah masing-masing.

Kuala Lumpur: “Saya tidak sangka perkara yang pada mulanya saya tidak mahu, tetapi itu sebenarnya terbaik untuk saya,” kata Nurul Iman Mohamad Anuar Kamal, 24, seorang daripada dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen Ke-42 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, semalam.

Nurul Iman graduan Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian (Cemerlang)(Pengajian Arab dan Tamadun Islam) menceritakan dia dipaksaibu bapa mengikuti pengajian peringkat menengah di Maahad al-Tarbiyyah al-Islamiyyah (MATRI) di Perlis.

“Saya disuruh belajar bahasa Arab, sebab itu ibu bapa menghantar ke MATRI. Walaupun enggan, sebagai anak saya turutkan.

“Namun, lama-kelamaan saya jatuh cinta dengan bahasa Arab dan mahu mendalaminya,” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu bercita-cita menjadi pensyarah kesusasteraan Arab kerana mendapati tidak ramai yang menceburi bidang berkenaan. Nurul Iman aktif dalam debat bahasa Arab dan pernah mewakili universiti.

Seorang lagi penerima anugerah sama, A Surendra Ananth, 24, graduan Sarjana Muda Undang-undang dengan Kepujian (Cemerlang). Masing-masing menerima pingat emas bernilai RM1,000, sijil dan wang tunai RM5,000.

Anugerah Naib Canselor pula diterima Edna Tan Ai Lin, 23, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian (Cemerlang)(Kejuruteraan Kimia) dan menerima RM2,500 serta buku terbitan UKM.

Majlis konvokesyen itu dihadiri Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan merangkap Canselor UKM, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Seramai 6,259 graduan menerima sijil masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 7:44 AM