SYED Hamid dibawa keluar dari mahkamah.
SYED Hamid dibawa keluar dari mahkamah.
MARZULHISHAM (kanan) dibawa keluar dari mahkamah.
MARZULHISHAM (kanan) dibawa keluar dari mahkamah.
Oleh Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: Bekas pengurus kewangan di sebuah syarikat penghantaran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, semalam atas empat tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM3.8 juta berhubung bayaran duti kastam, 10 tahun lalu.

Tertuduh, Marzulhisham Zulkifli, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nordin Nasir.

Dia yang sebelum ini bekerja di syarikat Pelangi Shipping Sdn Bhd itu didakwa mengemukakan tiga tuntutan palsu berjumlah RM3,093,787.06 kepada Al-Mohafan Mohamed, Eksekutif Logistik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 4, Bahagian Penjanaan TNB, 129, Jalan Bangsar, di sini, antara 19 Januari hingga 30 Julai 2004.

Marzulhisham didakwa membuat tuntutan itu melalui tiga invois yang mengandungi butiran palsu membabitkan tuntutan bayaran duti kastam, sedangkan bayaran duti kastam itu dikecualikan.

Selain itu, tertuduh juga didakwa mengemukakan tuntutan palsu sebanyak RM728,302.68 kepada Al-Mohafan dalam satu invois untuk tujuan sama, sedangkan bayaran duti kastam itu hanya berjumlah RM63,440.99.

Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afifah Yusof menawarkan wang jaminan RM60,000 bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Kamarudin Abdullah yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kepada RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan alasan anak guamnya yang bekerja sendiri dan mempunyai pendapatan tidak menentu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi semua pertuduhan dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 8 Disember ini sebagai sebutan semula.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang pegawai kanan swasta mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM98,000 untuk tiga kursus yang tidak dianjurkan di Bangi.

Mengikut semua pertuduhan, Syed Hamid Khalid Rashid, 40, yang ketika kejadian adalah ketua bahagian pengurusan perkhidmatan Petronas ICT Sdn Bhd, didakwa mengemukakan tuntutan itu melalui tiga invois syarikat K-Pintar Sdn Bhd mengandungi butiran palsu berhubung tiga kursus yang tidak dianjurkan.

Tertuduh yang juga ejen kepada syarikat iPerintis Sdn Bhd didakwa membuat tuntutan itu bagi kursus Managing Flow-Team Dynamics yang diadakan di Maybank Academy dan Petronas Leadership Centre Bangi antara Disember 2012 sehingga September 2013.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat iPerintis Sdn Bhd, Tingkat 18, Menara Perak, di Jalan Perak di sini pada jam 9 pagi hingga 5 petang, antara 31 Disember 2012 sehingga 9 September 2013.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai butiran palsu atau RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Afifah menawarkan wang jaminan RM45,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam M Mahendra yang mewakili Syed Hamid memohon wang jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan dilakukan sejak 10 bulan lalu.

Hakim Rosbiahanin Arifin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:10 AM
Kabinet Malaysia 2020