Brickfields: Gara-gara gagal melunaskan hutang, seorang tukang masak sebuah restoran ditemui mati akibat dibelasah sebelum dikunci di dalam tandas sebuah premis di Jalan Tun Sambanthan, di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.47 petang itu, mangsa, Hukumdev Sah Raghunath Sah, 39, berasal dari India, dikatakan didatangi suspek untuk menuntut hutang sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka.

Mangsa difahamkan enggan membayar balik wang berkenaan membuatkan suspek berang lalu membelasahnya dengan menumbuk muka dan dada mangsa beberapa kali sehingga pengsan.

Suspek kemudiannya menarik mangsa ke dalam tandas dan mengunci pintu daripada bahagian luar sebelum melarikan diri daripada tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, setibanya di lokasi kejadian selepas mendapat aduan orang awam, polis menemui mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri.

“Bagaimanapun, pemeriksaan awal polis tidak menemui sebarang kesan tikaman pada tubuh mangsa dan si mati berada di dalam tandas yang berkunci dari luar.

“Hasil siasatan lanjut membawa kepada penangkapan seorang suspek lelaki warga India berusia 20-an yang bekerja berhampiran tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:19 AM