Petaling Jaya: Berebut hak milik lori menyebabkan seorang adik tergamak menetak kepala abang kandungnya sebelum menggilis mangsa hingga mati dengan kereta.

Dalam kejadian jam 11 malam kelmarin, mangsa, K. Prakash, 38, mati serta merta berhampiran Jalan 219, Seksyen 51A, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, pertengkaran dua beradik itu dipercayai akibat perebutan hak milik lori yang diusahakan bersama sebelum ini.

Menurutnya, adik mangsa yang berusia 30-an dipercayai tidak berpuas hati dengan abangnya yang mahu memiliki lori berkenaan.

“Pada malam kejadian, suspek bersama rakan dikatakan membawa parang dan rantai motosikal dipercayai membalas dendam,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dipercayai ditetak dengan parang sebelum dilanggar dengan kereta di tempat kejadian.

“Mangsa dihantar ahli keluarganya sendiri ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan mati,” katanya.

“Siasatan awal polis menemui kesan darah dan motosikal di tempat mangsa diserang. Malah turut terdapat kesan pelanggaran kenderaan,” katanya.

Katanya, polis percaya suspek yang juga adik mangsa menetak mangsa sebelum merempuh mangsa dengan kenderaan.

Katanya, polis masih memburu dua suspek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:17 AM