ANGGOTA penguat kuasa memeriksa satu daripada alat ganti dalam serbuan di Batu Caves.
Oleh Mohd Rizal Abdullah .

.

Gombak: Penipuan terancang apabila sebuah syarikat pembekal alat ganti kenderaan dikesan menjual pelbagai produk tiruan terutama kepada syarikat lori dan kenderaan berat sekitar Lembah Klang.

Penjualan alat ganti 'cap ayam' itu dibimbangi menjadi punca kemalangan berikutan ia membabitkan komponen penting seperti cakera pemanduan, pam gear, 'step motor' dan pelbagai alatan penting lain.

Tindakan syarikat beribu pejabat di Jalan Industrial Batu Caves di sini, bagaimanapun dibongkar sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Gombak kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK cawangan Gombak Mohd Khairi Jamaludin berkata, serbuan dilakukan jam 2.30 petang hasil risikan.

Menurutnya, risikan dilakukan pihak KPNDKK diketuai Mohd Hanif Mohd Haseri sejak seminggu lalu berdasarkan aduan diperolehi.

"Hasil pemeriksaan dilakukan pihak kami merampas pelbagai alat ganti kenderaan tiruan bernilai lebih RM30,000.

"Rampasan membabitkan alat ganti ganti kenderaan berat seperti cakera pemanduan, pam gear, 'step motor', O-Ring dan pelbagai alat ganti lain," katanya.

Menurutnya, syarikat terbabit adalah pengedar utama alat ganti tiruan kepada ratusan pengusaha bengkel kenderaan di sekitar Lembah Klang.

"Semua barangan tiruan itu diletakkan di rak simpanan di dalam premis berkenaan dipercayai menunggu masa diserahkan kepada pengusaha bengkel," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati semua alat ganti tiruan itu dibeli di China sebelum dijual semula.

"KPDNKK memandang serius kegiatan penjualan alat ganti tiruan ini yang dikesan semakin berleluasa.

"Tindakan bakal dikenakan terhadap pemilik syarikat mengikut Seksyen 8 (2) (c) Akta Perihal Dagangan 2011 yang membawa hukuman denda atau penjara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:39 AM