X
NAJIB  menerima cenderamata selepas merasmikan Konvensyen UMNO Johor 2014.
NAJIB menerima cenderamata selepas merasmikan Konvensyen UMNO Johor 2014.

Johor Bahru: Satu jawatankuasa dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang sebagai pengerusi bersama dibentuk bagi menyusun proses pemulihan beberapa kawasan di Cameron Highlands, Pahang yang terjejas teruk angkara kegiatan penerokaan tanah secara haram.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, mesyuarat Kabinet semalam, bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa berkenaan demi memulihara kawasan terbabit daripada terus menjadi mangsa kerakusan pihak tidak bertanggungjawab.

“Kabinet bersetuju melantik Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Adnan Yaakob) sebagai pengerusi bersama jawatankuasa berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen UMNO Johor 2014 di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut Najib, Kabinet memutuskan dua pelan dalam mesyuarat itu sebagai langkah pemuliharaan Cameron Highlands.

“Selain penubuhan jawatankuasa bersama itu, satu pelan lagi berkaitan agensi di kawasan itu. Kabinet mahu menilai semula bentuk tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh agensi di kawasan berkenaan.

“Tindakan penguatkuasaan perlu diambil sekiranya ada berlaku pelanggaran undang-undang di kawasan berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, penduduk di kawasan terbabit mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan penerokaan secara haram hingga menyebabkan ekosistem di Cameron Highlands terjejas.

Kegiatan itu didakwa menjadi punca Kampung Baru Ringlet, Kuala Terla, Ulu Merah dan Lembah Bertam mengalami banjir kilat dan tanah runtuh pada 5 November lalu, yang menyebabkan tiga terkorban.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:08 AM