ADUN Johol, Abu Samah Mahat (kiri) menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada Mohamad Zikri.

Kuala Pilah: Seorang abang sanggup mengorbankan kerjayanya sebagai anggota tentera demi menjaga adiknya yang lumpuh separuh badan akibat terjatuh dari tingkat dua bangunan asrama sekolah di Rembau, dekat sini, Ogos lalu.

Anak kedua daripada sembilan beradik yang berusia 30-an itu, berkata keputusannya untuk berhenti kerja lebih awal terpaksa dilakukan kerana tidak sanggup melihat adiknya, Mohamad Zikri Zakaria, 15, terlantar.

“Mohamad Zikri memerlukan bantuan untuk bergerak dan saya tidak sampai hati melihat ayah serta emak menguruskan Mohamad Zikri setiap hari kerana mereka sudah tua.

“Walaupun keputusan menamatkan perkhidmatan lebih awal itu berat, saya lakukannya demi adik,” katanya yang enggan dikenali ketika ditemui di Rumah Rakyat Dangi, semalam.

Menurut ibunya, Rohani Ibrahim, 51, kejadian anaknya terjatuh dari tingkat dua sekolah berasrama di Rembau itu berlaku pada 17 Ogos jam 11 malam.

“Saya menerima panggilan daripada Mohamad Zikri kira-kira jam 11.30 malam dan bergegas ke sekolah. Warden tiada di lokasi kejadian dan saya membawanya dengan ditemani rakannya, ke Hospital Tampin.

“Berikutan kecederaannya serius, Mohamad Zikri dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, jam 12 tengah malam dengan ambulans.

“Selama dua bulan anak saya dirawat di HTJ dengan kos RM13,000. Dia menjalani dua pembedahan untuk memasang skru pada tulang belakangnya,” katanya.

Menurutnya, anaknya yang belum pulih sepenuhnya, masih terlantar di atas katil dan perlu memakai lampin pakai buang.

“Anggota badannya tidak boleh bergerak dari paras pinggang ke bawah, hanya kedua-dua tangan boleh digerakkan. Mohamad Zikri juga perlu memakai stokin kaki khas agar pengaliran darahnya lancar.

“Kos sepasang stokin itu RM80. Kami bukan keluarga berada menyebabkan terpaksa berjimat untuk menampung kos perubatannya.

“Sejak kemalanganya, kami membelanjakan RM20,000 termasuk mengubah suai tandas serta kos pengangkutan berulang-alik ke hospital setiap dua minggu sekali,” kata suri rumah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:30 AM