Skip this ad x
Mohd Yusrizal (kiri) yang mewakili NGO Islam melawat dan memberi sumbangan kepada tiga beradik lumpuh di Kampung Setol, Sungai Dua, Butterworth, semalam.

Butterworth: “Sebak hati kami melihat keadaan tiga beradik berkenaan yang lumpuh, manakala ibu mereka pula terlantar kerana uzur,” kata Mohd Yusrizal Mohd Yusoff, wakil badan bukan kerajaan (NGO) Islam ketika melawat dan menyampaikan sumbangan kepada tiga beradik lumpuh di Kampung Telok, Sungai Dua di sini, semalam.

Mohd Yusrizal dari Pertubuhan Perubatan Islam dan Seni Benteng Diri Gerak Asy-Syahadah berkata, pihaknya terpanggil untuk menyalurkan sumbangan selepas terbaca mengenai penderitaan tiga beradik itu yang viral di media sosial dan disiarkan akhbar.

Berikutan itu, pihaknya bersama 100 ahli pertubuhan itu serta ahli Pertubuhan Kebajikan Islam Arah Terpuji Sahsiah Malaysia (ATS) turun padang bagi menghulurkan sumbangan kepada tiga beradik lumpuh terbabit iaitu Zaiton Mohamad, 60, Habesah Mohamad, 55, dan Noorlia Mohamad, 47.

“Apa yang dibaca sudah cukup bagi saya menggambarkan penderitaan mereka, namun selepas melihat sendiri keadaan tiga beradik ini keadaan mereka sebenarnya lebih daif menyebabkan kami bertambah sebak.

“Tiada kata-kata dapat digambarkan mengenai hebatnya kesabaran adik-beradik mereka (Azizah, 51, dan Abidin, 50,) menguruskan keperluan tiga saudara mereka itu yang terlantar sejak kecil,” katanya.

Beliau berkata, selain menyampaikan bantuan lampin dan barang makanan, pihaknya akan membuat tindakan susulan agar kebajikan tiga beradik itu terjamin.

“Kami memohon agar NGO lain tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban saudara tiga beradik berkenaan,” katanya.

Setiap hari Azizah dibantu adiknya, Abidin menguruskan keperluan tiga saudara mereka yang lumpuh sejak kecil akibat demam panas termasuk memandikan, memakaikan lampin serta menyuap makanan.

Sebelum ini, ibu mereka, Zainab Othman, 78, mengurus keperluan tiga beradik itu, namun diambil alih Azizah dan Abidin selepas warga emas itu terlantar sejak dua tahun lalu kerana uzur.

Abang mereka, Ismail yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) meninggal dunia dua tahun lalu, manakala dua lagi adik beradik mereka tinggal berasingan.

Tiga beradik OKU berkenaan mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM900 sebulan selain bantuan zakat RM500 sebulan serta Restoran Nasi Kandar Nasmir RM600 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:31 AM