MUNUSAMY (dua dari kanan) menunjukkan kereta yang dirampas selepas menahan dua suspek.

Kuala Lumpur: Dua penjenayah ‘bodoh’ ditahan polis dalam tempoh kurang dua jam ketika suspek cuba menukar nombor plat kenderaan mewah yang baru dicuri di sebuah kedai menjual aksesori kenderaan.

Dalam kejadian jam 6.50 petang Jumaat lalu, suspek dikatakan tidak sempat menukar plat kenderaan palsu yang baru dibeli di sebuah premis di Jinjang, Kepong di sini, selepas premis itu diserbu polis.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, siasatan polis mendapati kereta mewah itu baru dilarikan suspek dari sebuah rumah di Brickfields di sini.

Menurutnya, seorang pengurus syarikat menerima panggilan daripada jiran memberitahu rumahnya dipecah masuk selain kereta Mercedes Benz miliknya dilarikan penjenayah sekitar jam 5.30 petang.

“Susulan kejadian itu mangsa menghubungi polis sebelum dua penjenayah terbabit dikesan berada di kedai aksessori kereta.

“Siasatan mendapati suspek menempah nombor pendaftaran baru bagi kenderaan dicuri itu. Namun polis menjejaki suspek dalam tempoh kurang dua jam,” katanya.

Menurutnya, polis menghampiri suspek dan berlaku pergelutan sebelum penjenayah ditahan.

“Polis yang melakukan pemeriksaan merampas kunci kereta Mercedes Benz dan Hyundai, kunci pagar rumah, ketulan lutsinar dipercayai syabu, pedang samurai, tiga telefon bimbit, lima cukai jalan kenderaan dan dua nombor plat.

“Dua suspek berusia 23 tahun berasal dari Jinjang dan Selayang Baru ini mempunyai rekod jenayah lampau termasuk memiliki senjata api dan dadah serta melakukan rompakan,” katanya pada sidang akhbar, semalam.

Munusamy berkata, pihaknya percaya suspek bergerak dalam kumpulan dianggotai lebih empat individu sejak 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:09 AM