X

Kuala Lumpur: Seorang pekerja kontrak didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan melakukan ugutan bunuh ke atas seorang pemilik kedai runcit, awal bulan ini.

Tertuduh, K Vajesh, 38, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur A’minahtul Mardiah Md Nor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat untuk menimbulkan ketakutan kepada R Suresh, 38.

Perbuatan itu dilakukannya di hadapan kedai runcit di blok H Projek Perumahan Rakyat Sungai Bonus, Wangsa Maju, dekat sini, pada jam 4.10 petang, 2 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Nur A’minahtul kemudian menetapkan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan memberi arahan supaya tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai selain kes itu disebut semula pada 7 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 8:54 AM