HASSAN menyiram air mawar di pusara anaknya.

Ampang: “Belajarlah rajin-rajin, kerja mesti kuat...berdikari sendiri, jangan malas dan bergantung kepada orang lain,” demikian sebaris kata nasihat yang dititipkan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Allahyarham Datuk Fuad Hassan kepada semua zuriatnya semasa hayatnya.

Bagi anak sulungnya, Muhammad Farid, kata-kata itu tersemat kemas dalam ingatannya sepanjang hayat serta menjadi pembakar semangat meneruskan hidup terutama untuk mengambil alih tugas bapanya sebagai ketua keluarga.

“Setiap kali kami berjumpa, abah selalu pesan: Farid, kena kerja kuat dengan usaha sendiri dan jangan bergantung pada abah lagi.

“Bila teringat semula kata-kata abah itu, ia betul-betul buat saya tersentuh.

“Sekarang abah dah takda, saya akan ikut apa yang baik ditinggalkan arwah, malah tugas saya sebagai anak sulung juga semakin sukar kerana walaupun ada adik-beradik yang sudah berkahwin tanggungjawab tetap pada saya selain menjaga ibu,” katanya selepas majlis pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Taman Bukit Permai 2 di sini, semalam yang turut dihadiri kira-kira 700 sanak saudara dan kenalan rapat memberi penghormatan terakhir.

Fuad, 62, menghembuskan nafas terakhir kira-kira 12.20 tengah malam semalam, selepas dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang awal pagi kelmarin kerana tidak sedarkan diri akibat diserang sakit jantung ketika menghadiri Majlis Makan Malam sempena Penutupan Program Pemukiman Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Awana Kijal, Kemaman, Terengganu kira-kira jam 11.15 malam, Sabtu lalu.

Allahyarham yang meninggalkan dua balu dan 10 anak berusia antara empat hingga 35 tahun itu selamat disemadikan pada jam 12.15 tengah hari dengan majlis talkin diketuai adik bongsunya Prof Madya Datuk Dr Abdul Rauf manakala sebelum itu solat jenazah diimamkan bapa mereka yang juga tokoh pengajian al-Quran Tan Sri Hassan Azhari.

Terdahulu, pada jam 9 pagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk membaca tahlil ringkas bersama keluarga dan kenalan di kediaman Allahyarham di Ampang Jaya di sini.

Turut kelihatan hadir memberikan penghormatan terakhir ialah abang Allahyarham Tan Sri Musa yang juga bekas ketua polis negara, adiknya pelakon Datuk Jalaluddin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Sementara itu, Musa yang sempat berborak dengan arwah adiknya itu menerusi panggilan telefon dua hari lalu, menyifatkan kemesraan Allahyarham menjadi pengikat ukhuwah antara mereka adik-beradik.

Bagi Ahmad Shabery pula, pemergian Fuad kehilangan besar bukan saja kerana jasa dan kepemimpinan Allahyarham dalam kementeriannya malah sebagai seorang sahabat baiknya.

“Arwah seorang yang berjiwa besar, setiap yang dilakukan mesti dia buat dengan bersungguh-sungguh.

“Dia juga adalah idola saya sejak zaman universiti lagi. Kami pernah sama-sama terbabit dalam Persatuan Pelajar Islam Kebangsaan di mana arwah sebagai presiden dan saya pula bendahari persatuan itu.

“Pada hari kejadian, saya perasan muka arwah pucat, tetapi dia masih sempat aktif menyertai beberapa aktiviti,” katanya.

Sementara itu, Najib dalam catatan di laman Twitternya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Fuad di atas kembalinya arwah ke rahmatullah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 8:14 AM