Nurhidayah memangku Putera Fathullah yang menghidap penyakit hati kronik.

Pasir Gudang: Seorang suri rumah merayu sumbangan bagi membolehkan anaknya Putera Fathullah Fahmi yang menghidap penyakit hati kronik menjalani pembedahan segera.

Siti Nurhidayah Shaari, 20, yang tinggal bersama keluarganya di Taman Air Biru, Pasir Gudang berkata, anak tunggalnya yang berusia setahun enam bulan itu memerlukan RM200,000 untuk menjalani pembedahan, namun wang terkumpul hanya RM28,000.

Menurut Nur Hidayah, dia kini runsing kerana keadaan anaknya semakin kritikal dan berharap supaya usahanya untuk mengumpul dana dalam masa terdekat berhasil.

“Anak saya disahkan menghidap penyakit hati kronik selepas tiga hari dilahirkan dan pernah menjalani pembedahan ketika berumur lima bulan.

“Namun, doktor mengesyorkan supaya dia menjalani pembedahan untuk pemindahan hati kerana hatinya sudah rosak.

“Kalau boleh, saya mahu ia dilakukan segera namun faktor kewangan membantutkan hasrat itu,” katanya.

Menceritakan keadaan Putera Fathullah, Nur Hidayah berkata, penyakit yang dialami turut membuatkan berat badan anaknya itu tidak seperti kanak-kanak normal.

Katanya, dia risau dengan keadaan itu kerana anaknya memerlukan berat badannya melebihi 10 kilogram untuk menjalani pembedahan.

Orang ramai yang berhasrat menyumbang bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 151240294649 dan CIMB 7613256663 atas nama Siti Nurhidayah Shaari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 7:45 AM