Kuala Lumpur: Kes tuntutan fasakh yang berlarutan sehingga lebih tiga tahun dikategorikan ‘paling panas’ oleh Pertubuhan Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SUKAGUAM) dengan hampir 100 kes diterima sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Pengerusinya Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, dalam kebanyakan kes, pengadu membuat tuntutan atas alasan tidak mahu hidup berpoligami, tidak ada persefahaman dalam rumah tangga selain sering bergaduh walaupun disebabkan perkara kecil.

“Memang ramai plaintif yang mengalami tekanan perasaan disebabkan kes sudah lama berlarutan dan masih belum berjaya diselesaikan oleh mahkamah. Secara tak langsung, emosi mereka terganggu kerana terpaksa turun naik mahkamah selain perlu membiayai kos guaman yang berganda.

“Sebab itu SUKAGUAM akan memberi penerangan terlebih dulu kepada pengadu bahawa mereka juga mempunyai risiko yang perlu ditanggung sama ada dari segi kos atau pun masa. Ia disebabkan prosedur dan proses pembuktian yang memakan masa, perlukan saksi, publisiti dan sebagainya,” katanya kepada Harian Metro.

Khairul Anwar berkata, contohnya kes membabitkan kehilangan suami tanpa khabar berita, si isteri perlu meneruskan hidup seperti biasa dan pada masa sama perlu hadir di mahkamah apabila diperlukan yang menyebabkan tekanan perasaan melampau.

Menurutnya, bukan semua pengadu mampu membiayai kos guaman dan mengatur jadual kerja seharian dengan baik dan dalam jangka masa lama, ia mengakibatkan berlakunya tekanan mental serta perlu dirujuk ke hospital.

Sementara itu, kaunselor perkahwinan, Hushim Salleh berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai kes ‘tak selesai’ sejak beberapa tahun lalu dan mengesyorkan supaya mereka yang terbabit menghadiri sesi kaunseling berjadual.

Katanya, kebanyakan mereka tidak tahu apa yang perlu dibuat kerana tekanan perasaan terlalu memuncak dan mereka hanya fikir untuk bercerai kerana itu satu-satunya jalan terakhir yang ada.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 8:16 AM