(DARI kiri) Norshila Abu Bakar, Shaiful Zamri Abdul Sattar dan Mohd Shahrir Abd Rahim menerima pingat di Gangnam-gu, Seoul, baru-baru ini.
Oleh Norul Awatif Romli

Jitra: Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), di sini, menempa kejayaan terbaru apabila merangkul satu pingat perak dan dua gangsa dalam pembentangan serta pertandingan inovasi sempena Pameran Reka Cipta Antarabangsa Seoul (SIIF) 2014 di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.

Program anjuran Persatuan Promosi Inovasi Korea (KIPA) terbabit disertai seramai 723 peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi dan industri di seluruh dunia.

Pengarah Polimas Mejar Kehormat Asmara Sulong berkata, Polimas menerusi Unit Penyelidikan dan Inovasi diberi peluang mewakili delegasi Malaysia dengan menghantar tiga penyertaan produk inovasi iaitu pemotong padi organik (Organic Paddy Weeder), pemotong rumput solar (Solar Grass Cutter) dan model kereta pintar (Smart Car Model).

Menurutnya, penyertaan produk pemotong padi organik memenangi pingat perak untuk kategori mekanikal, enjin, mesin, peralatan, proses industri dan metalurgi (kajian logam).

Katanya, manakala produk pemotong rumput solar dan model kereta pintar mendapat pingat gangsa bagi kategori inovasi lain dan produk praktikal baru, trafik, pengangkutan serta aksesori kereta.

“Kejayaan yang dicapai itu membuktikan Polimas mampu bersaing dengan institusi pengajian tinggi lain di dunia dalam bidang kajian dan inovasi,” katanya menerusi satu kenyataan media, di sini, semalam.

KIPA adalah salah satu daripada empat temasya reka cipta berprestij seperti Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Produk Baru (IENA 2011) di Nuremberg, Jerman; Pameran Ekspo Reka Cipta dan Produk Baru (INPEX 2013) di Pittsburgh, Amerika Syarikat dan Pameran Reka Cipta Antarabangsa Geneva di Switzerland.

Sementara itu, pemenang, Norshila Abu Bakar berkata, kejayaan itu membawa dimensi baru kepada golongan penyelidik, Polimas, Jabatan Pengajian Politeknik (JPP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha mentransformasikan pendidikan negara menerusi kejayaan inovasi berimpak tinggi di peringkat global.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama dan pembabitan aktif semua pihak dalam pembentangan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Ia juga mampu menjadi penunjuk prestasi utama Polimas, JPP dan KPM ke arah pengantarabangsaan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara menerusi bukti pencapaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 8:29 AM