SHAMSUL Anuar (tengah) beramah mesra dengan peserta, semalam.

Ipoh: Peningkatan jumlah bayaran balik pinjaman daripada purata RM1.2 juta sehari kepada RM3.5 juta kutipan sehari diperoleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas badan itu mengumumkan langkah menyenaraikan maklumat peminjam tegar dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) bermula 1 Januari ini.

Pengerusinya Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, prestasi kutipan itu meningkat hasil daripada pengumuman dibuat dan pihaknya berharap bayaran balik terus meningkat dari semasa ke semasa.

Menurutnya, kecenderungan peningkatan itu diharap dapat membantu mencapai sasaran kutipan PTPTN khususnya melalui akaun tertunggak disasarkan sebelum ini iaitu RM1.23 bilion, iaitu jumlah yang tidak dibayar langsung daripada 173,985 peminjam tegar.

“PTPTN juga mendapati kesan positif itu bukan saja membabitkan peminjam tegar yang disasarkan, tetapi turut membabitkan kumpulan peminjam lain,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Sahabat PTPTN Negeri Perak di sini, semalam.

Shamsul Anuar berkata, dia berharap peminjam tegar yang belum berjumpa dan berbincang dengan PTPTN dapat berbuat demikian dalam tempoh masa yang berbaki dua minggu lagi sebelum nama mereka disenaraikan dalam CCRIS.

Katanya, PTPTN menyasarkan mengutip 60 peratus daripada hutang tertunggak membabitkan peminjam tegar, bagaimanapun jumlah itu hanya akan dapat diketahui selepas 1 Januari depan.

“Walaupun setakat ini hanya 18,253 peminjam tegar tampil membincangkan masalah bersama PTPTN, kami berharap lebih ramai tampil menjelang akhir tahun.

“Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan PTPTN tidak mempunyai rancangan melanjutkan tempoh atau mengubah keputusan menyenaraikan peminjam ke dalam CCRIS, apa yang diputuskan kekal 1 Januari dan kami harap mereka (peminjam) dapat mengambil tindakan segera,” katanya.

Katanya, setiap tahun PTPTN memerlukan RM5.9 bilion untuk diagihkan sebagai pinjaman pendidikan dan sejak ditubuhkan hingga kini PTPTN mengeluarkan sebanyak RM49.19 bilion pinjaman kepada rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:20 AM