Oleh Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala LumpurSeorang pelakon berstatus janda yang pernah mendukung watak utama satu filem seram dicekup sepasukan penguat kuasa agama selepas dipercayai berkhalwat bersama pasangannya di sebuah kondominium, Ukay Perdana dekat sini, semalam.

Tangkapan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada jam 3.23 pagi itu berdasarkan maklumat orang awam.

Sumber berkata, pasangan berkenaan ditahan selepas gagal menunjukkan dokumen menunjukkan mereka mempunyai ikatan mahram.

“Selepas mendapat maklumat daripada orang awam kami menghantar penguat kuasa ke lokasi. Ketika tiba di kondo berkenaan kami menahan mereka kerana disyaki berkhalwat,” katanya.

Katanya, pasangan berkenaan ditahan mengikut Seksyen 29(1) A&B, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Difahamkan, pelakon wanita terbabit berusia 33 tahun dan mempunyai tiga anak itu manakala teman lelakinya bukan artis. Mereka dikatakan merancang berkahwin dalam masa terdekat.

Sebuah filem lakonan artis itu sebelum ini berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM8 juta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad mengesahkan menerima laporan tangkapan jam 3.44 pagi dan menyerahkan kes itu kepada JAIS untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:12 AM