Petaling Jaya: Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari menangguhkan perbicaraan kes nusyuz antara pelakon Sari Yanti Mohamad Nazari dan suaminya, Mohd Edy Casmadi Che Hussain berikutan pasangan itu sah bercerai secara tebus talak dengan bayaran RM10,000 di Mahkamah Syariah Seremban, Khamis lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hasan Mohd Edy Casmadi yang mewakili prosiding kes itu di hadapan Hakim Syarie Abd Halim Abu Samah di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di sini, semalam.

Tebus talak RM10,000 itu dibayar pelakon berkenaan kepada Mohd Edy Casmadi, 34.

Justeru, Fakhrul Azman memohon satu tarikh sebutan baru untuk pihak-pihak mencari penyelesaian kes itu (nusyuz) secara baik.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan pada 9 Februari depan.

Kedua-dua pasangan itu tidak hadir pada prosiding semalam dan Sari Yanti diwakili peguam syarie, Marlina Amir Hamzah.

Pada 25 Februari lalu, Sari Yanti memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 10:13 AM