Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Hujan lebat berterusan selama 48 jam sejak pagi kelmarin menyebabkan Bandar Lama Gua Musang di sini, tenggelam sekali gus terburuk dalam tempoh lebih 10 tahun.

Paras sungai utama termasuk Sungai Galas, Nenggiri, Lebir, Sungai Ketil dan Sungai China naik mendadak, malah limpahannya menjejaskan beberapa kampung terdekat.

Jalan Besar, Jalan Pekan Lama, Jalan Pulai dan Jalan Kampung Baru ditutup kepada semua kenderaan apabila paras air naik melebihi dua meter menyebabkan lebih 2,000 penduduk berpindah ke 10 pusat pemindahan sementara disediakan.

Kampung terbabit dengan banjir besar ialah Kampung Batu Papan, Kundur, Kuala Betis, Kampung Baru Hilir, Kampung Baru Hulu, Kampung Limau Kasturi, Bertam, Kuala Sungai, Lebir, Chalil, Chiku 3, 6, 7 dan Aring.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Gua Musang Mohd Yusalmi Yusoff berkata, pihaknya menggerakkan semua anggota untuk menyelamatkan penduduk.

Beliau turut menyifatkan banjir gelombang kedua itu yang terburuk selepas 2001 dan menjangkakan lebih ramai penduduk berpindah.

“Mangsa banjir kawasan tumpuan iaitu Kampung Chiku 7 dipindahkan sejak jam 8 pagi sebelum beralih ke bandar ini,” katanya.

Sementara itu, portal eBanjir sehingga jam 8.30 malam tadi merekodkan empat sungai dalam paras bahaya iaitu Sungai Galas dengan 39.45 meter (m), Sungai Lebir 38.09m, Sungai Kelantan di Tangga Krai (27.38m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang pada 10.42m.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 8:15 AM