Oleh Asmah Rusman

Kajang: Seorang lelaki dikesan memiliki tabiat aneh apabila gemar mencuri seluar dalam dari pasar raya sekitar Balakong di sini, dengan berpura-pura sebagai pelanggan.

Dalam kejadian terbaru jam 8.30 malam kelmarin, suspek berusia 51 tahun sekali lagi dikesan cuba mencuri tiga helai seluar dalam dari sebuah pusat beli-belah di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, suspek sebelum itu dilihat masuk ke dalam premis berkenaan dan terus menuju ke bahagian pakaian dalam lelaki.

Menurutnya, suspek kemudian dilihat memilih tiga helai seluar dalam berjenama sebelum mengambilnya.

“Suspek kemudiannya membawa tiga helai seluar dalam itu ke dalam bilik persalinan dengan alasan ingin mencuba pakaian dalam itu.

“Lelaki itu kemudian dilihat keluar dan meninggalkan premis itu dengan memakai sehelai seluar pendek baru tanpa membuat sebarang bayaran,” katanya.

Menurutnya, seorang penjual wanita memaklumkan perkara itu kepada pengawal keselamatan pusat beli-belah itu sebelum suspek cuba ditahan untuk pemeriksaan di kawasan meletak kenderaan berhampiran.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun cuba melawan selain menafikan tuduhan dia mencuri pakaian di pusat beli belah itu.

“Pengawal keselamatan itu kemudiannya membawa suspek ke pejabat pengurusan untuk membuat pemeriksaan badan dan mendapati suspek ada memakai tiga seluar dalam curi dan seluar pendek.

“Pemeriksaan itu turut menemui dua dompet dipercayai turut dicuri dari premis berkenaan yang semuanya dianggarkan bernilai RM400,” katanya.

Rashid berkata, soal siasat ke atas suspek mendapati dia sengaja melakukan jenayah itu malah mengaku mempunyai wang untuk membayar barangan berkenaan.

“Suspek seolah-olah menjadikan kegiatan jenayah itu sebagai hobi. Dia kini ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 8:12 AM