Mustapa (dua dari kanan) bersalaman dengan Sham.
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan dan Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my

Bagan Serai: Buat julung kalinya akhbar nombor satu Harian Metro menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) mengambil inisiatif membina sebuah surau baru bagi kemudahan penduduk di sekitar Parit Abu Hassan, Alor Pongsun, dekat sini.

Majlis penyerahan pelan surau baru dan pecah tanah diadakan, semalam, bagi menggantikan surau Nurul Hasaniah Parit Abu Hassan yang semakin uzur.

Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar dalam ucapannya berkata, program TKHM memasuki tahun ketujuh penganjuran adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Menurutnya, program berbentuk amal kebajikan sebahagian daripada usaha merapatkan hubungan warga kerja Harian Metro dengan pembaca.

“Program kebajikan seperti ini dianjurkan dengan bantuan daripada rakan penaja kami yang turut sama memastikan setiap program yang dijalankan dapat dilaksanakan.

“Sebelum ini, kita mengadakan pelbagai program antaranya memberi sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan, anak yatim dan miskin khususnya pada bulan Ramadan,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan surau itu dilakukan selepas mengambil kira keadaan surau yang berusia lebih 30 tahun itu.

“Sebelum ini, kami juga menjalankan program baik pulih membabitkan sebuah surau di Tanjung Karang, Selangor.

“Terkini, usaha untuk membina surau baru diteruskan di kampung ini (Parit Abu Hassan). Insya-Allah kami akan berusaha menguruskannya secepat mungkin,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu merangkap Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai Datuk Sham Mat Sahat, Pengarang Eksekutif (Edisi Hujung Minggu dan Rencana) Harian Metro merangkap Pengerusi TKHM Othman Mamat, Penghulu Mukim Beriah Ahmad Firdaus Abdul Rahim dan Ketua Kampung Parit Abu Hassan Abdul Rahim Abd Wahab.

Sementara itu, Sham berkata, dia bersama penduduk di kampung itu bagaikan bermimpi apabila pihak Harian Metro menerusi program TKHM meluluskan permohonan penduduk dalam jangka tempoh singkat.

Beliau berkata, sebelum ini, penduduk pernah menyuarakan hasrat dan memohon untuk membina surau baru, namun tidak mendapat maklum balas positif daripada kerajaan negeri dan pusat.

“Saya mewakili penduduk di kampung ini terharu dan berterima kasih kepada pihak Harian Metro yang meluluskan permohonan membina surau baru ini.

“Saya berharap pihak Harian Metro dapat meneruskan program CSR mereka dalam program kemasyarakatan seperti ini, malah penduduk mendoakan kejayaan Harian Metro agar terus maju sebagai akhbar nombor satu di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 9:00 AM