X
PEMANDANGAN udara keadaan di Kampung Manek Urai yang terjejas teruk akibat banjir.
PEMANDANGAN udara keadaan di Kampung Manek Urai yang terjejas teruk akibat banjir.

Kuala Krai: “Pada mulanya kami minum air dari pili bomba, namun semalam (kelmarin), air di kawasan itu juga sudah habis menyebabkan kami menadah hujan.

“Untuk makan, kami makan apa yang ada seperti telur dan sardin, itu pun bekalan diambil penduduk dari kedai runcit berhampiran,” kata mangsa banjir Siti Azizah Samad, 40.

Ibu anak empat dari Kampung Laloh di sini, menceritakan bagaimana dia bersama 2,000 penduduk meneruskan kehidupan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Laloh selepas rumah mereka dinaiki air.

Menurutnya, pusat itu semakin padat selain kekurangan bekalan makanan sejak Isnin lalu apabila semakin ramai penduduk Kampung Laloh dan kawasan sekitarnya turut berpindah.

Banjir besar melanda kawasan berkenaan menyebabkan penduduk terputus hubungan dengan dunia luar, ada antara mereka sanggup mengambil risiko membahayakan diri sendiri semata-mata mencari bekalan makanan dari kedai runcit yang tenggelam.

“Kami buat begitu kerana keadaan makin teruk. Bantuan lambat tiba disebabkan cuaca buruk.

“Anak menangis lapar manakala orang tua yang sakit terus bertahan. Suasana memang agak huru-hara. Memang tak sanggup tengok.

“Apa yang kami mampu lakukan hanyalah bersabar. Makan sikit sebab tak cukup dan kita juga tak ada air nak mandi,” katanya.

Siti Azizah turut menitipkan pesanan kepada saudara-mara mengenai kepayahan mangsa banjir di sekolah itu yang tersebar meluas menerusi laman sosial.

Menurutnya, sejak Isnin lalu, dia sudah berpindahtiga kali di sekolah berkenaan disebabkan air turut menenggelamkan bangunan sekolah itu.

“Dari aras paling bawah, kami berpindah ke tingkat dua, tapi air terus naik mendadak sejak Rabu lalu menyebabkan kami ke tingkat tiga untuk menyelamatkan diri.

“Memang padat, berebut-rebut. Saya cuma berharap pasukan keselamatan dapat segera menghantarkan bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 9:57 PM