MANGSA banjir Siti Zulaiha Che Mat membersih lumpur di dalam rumahnya.

Chukai: “Rumah ditenggelami banjir sedalam tujuh meter selama hampir dua minggu dan apabila surut hari ini (semalam), saya terpaksa pula memikirkan cara untuk membersihkan lumpur sedalam 0.6 meter,” kata Mohd Roslizan Sulong, 39, mangsa banjir di Kampung Teladas, dekat sini, yang menjadi kampung terburuk dilanda banjir di daerah ini sejak 16 Disember lalu.

Menurutnya, walaupun banjir surut, namun dia, isteri Norazlinda Naid, 27, ibu Ngah Awang, 69, serta tiga anaknya yang masih kecil belum bercadang berpindah masuk ke rumah kayu dua tingkat itu.

“Saya takut kemungkinan rumah akan kembali ditenggelami air lagi seperti beberapa hari lalu walaupun ia surut dan barangan sempat dipindahkan ke tingkat atas.

“Lagipun saya bimbang memikirkan keadaan ibu yang terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda sekiranya berlaku sesuatu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di tebing Sungai Kemaman, dekat sini, semalam.

Pekerja kontrak itu berkata, selain bimbang dibawa arus banjir, dia risau struktur binaan rumah pusaka berusia lebih lima dekad yang mungkin runtuh pada bila-bila masa.

“Minggu lalu, ketika saya mengemas barang di tingkat atas, rumah tiba-tiba bergoyang dan rupa-rupanya ketika itu sebuah bot melalui Sungai Kemaman.

“Tak tahulah berapa lama lagi rumah pusaka ini mampu bertahan dan saya harap kerajaan negeri dapat menyediakan penempatan baru,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Rafidah Kasman, 34, berkata, dia kerugian RM6,000 apabila pakaian dan peralatan rumah hilang dibawa arus banjir.

“Itupun nasib baik peralatan lain sempat dipindahkan ke rumah mentua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 6:23 AM