Kota Bharu: “Bukan fenomena banjir biasa, tetapi ini malapetaka atau bencana. Apa yang saya lihat, menyayat hati saya,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggambarkan keadaan di Kuala Krai dan Gua Musang yang terjejas teruk akibat banjir besar, minggu lalu.

Beliau yang turun ke Kelantan buat kali kedua, semalam menumpukan lawatannya ke dua jajahan itu dengan tinjauan dimulakan di Kampung Baru Hulu dan Kampung Baru Hilir di Gua Musang, sebelum ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra I.

Kira-kira dua jam di situ, beliau meneruskan tinjauan ke Kuala Krai dan melawat Hospital Kuala Krai (HKK) serta diberi taklimat mengenai operasi hospital itu sepanjang lima hari dilanda banjir besar.

Najib berkata, beliau sangat terkesan dengan apa yang berlaku di Gua Musang dan Kuala Krai, malah kesedihannya tidak dapat disorok lagi apabila melihat banyak rumah dan harta benda yang musnah selain persekitarannya teruk.

“Ini bencana atau malapetaka disebabkan keadaannya, air naik begitu tinggi secara mendadak sehingga rumah banyak tenggelam, banyak juga yang musnah sama sekali yang saya diberitahu beratus-ratus musnah di Kuala Krai.

“Yang tidak musnah pun telah mengalami kerosakan yang begitu berat sekali. Saya rasa amat sedih dan apa yang saya lihat menyayat hati saya.

“Saya juga diberi taklimat betapa gentingnya keadaan di HKK dalam lima hari air naik malah, sebahagian hospital telah tenggelam serta putus bekalan air dan api,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Operasi Bencana Banjir Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin selain pegawai kanan kerajaan.

Najib berkata, beliau cuba membayangkan situasi penduduk ketika itu apabila jambatan yang menghubungkan Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru dipenuhi air menghampiri paras paling atas tiang lampu di situ.

“Cuba bayangkan jambatan itu sudah dibina tinggi, tetapi air naik lebih tinggi daripada jambatan hingga hampir mencecah lampu jambatan. Ini keadaan yang kita dapat gambarkan sebagai malapetaka yang menimpa yang sangat berat, bukan banjir biasa,” katanya.

Beliau juga tidak menolak keadaan berlaku disebabkan pembukaan dan penerokaan tanah secara berleluasa terutama pembalakan yang berlebihan.

Katanya, tindakan itu memberi kesan serius kepada alam sekitar apabila tiada keadaan semula jadi yang boleh menahan air daripada turun ke sungai dengan begitu pantas.

Memberi contoh Jambatan Manek Urai, katanya, balak yang hanyut ke sungai juga mengakibatkan kesan lebih buruk apabila menutup laluan di jambatan berkenaan menyebabkan air melimpah ke kiri dan kanan.

“Ini semua pengajaran kepada kita sebenarnya, jadi kita patut beringatlah. Ambil tindakan yang menjamin pembangunan lestari dan mampan kerana Allah sudah mengingatkan kita semua mengenai kesan ini.

“Dalam al-Quran diperingatkan bahawa manusialah sebenarnya punca (kepada semua masalah). Tuhan tidak menzalimi kita, tetapi kita yang menzalimi diri kita sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 6:37 AM