Petaling Jaya: Dua penjenayah menggunakan taktik berpura-pura meminta maaf daripada seorang eksekutif pelaburan sebelum merompak wang tunai lebih RM800,000.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi kelmarin, mangsa berusia 37 tahun dikatakan berada dalam kereta berhampiran sebuah pusat beli-belah di Mutiara Damansara, di sini.

Sumber polis berkata, mangsa ketika itu sedang menunggu rakannya yang berurusan di sebuah bank berhampiran.

“Mangsa bagaimanapun terkejut apabila sebuah motosikal dinaiki dua lelaki secara tiba-tiba merempuh cermin sisi keretanya.

“Suspek berpura-pura membuat isyarat memohon maaf sambil meminta mangsa memeriksa keadaan cermin sisi kereta itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudiannya keluar dari kenderaan sebelum melihat bahagian kereta yang rosak.

“Ketika itu rakan suspek membuka pintu belakang kereta dan membawa lari beg berisi wang berjumlah RM800,000.

“Mangsa tidak sempat mengejar suspek berikutan penjenayah memecut lari dari lokasi kejadianm,” katanya.

Susulan itu mangsa membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

Difahamkan, mangsa gagal mengenal pasti identiti suspek berikutan mereka memakai topi keledar tutup penuh muka.

Sementara itu jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang dihubungi mengesyaki suspek kemungkinan sudah mengekori mangsa dan mengetahui wang tunai dibawa berkenaan.

“Tindakan lelaki itu melanggar cermin sisi mangsa satu taktik menarik perhatian mangsa keluar dari kereta,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pusat beli-belah berkenan bagi mengesan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 6:52 AM