Lawas: Hujan lebat berterusan sejak malam kelmarin dan air pasang menyebabkan beberapa kawasan rendah di Kampung Masjid Baru, Merapok, di sini, dinaiki air, semalam.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, 52 penduduk kampung dari 13 keluarga dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meragang, Merapok, di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Muhammad berkata, air pasang besar dan hujan berterusan sejak malam kelmarin menyebabkan air melimpah masuk ke dalam rumah penduduk.

Menurutnya, penduduk dipindahkan pada jam 6.24 petang menggunakan bot bomba ke pusat pemindahan sementara di SMK Meragong.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.39 petang dan empat anggota bersama pegawai bergegas ke lokasi banjir yang jaraknya 32 kilometer dari balai.

“Air melimpah ke rumah penduduk dengan ketinggian air 0.5 meter hingga 1 meter. Penduduk dibenarkan pulang apabila air surut sepenuhnya,” katanya.

Nor Hisham berkata, penduduk di kawasan berisiko banjir diminta segera menghubungi talian kecemasan sekiranya kawasan mereka dinaiki air bagi memudahkan penyampaian bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:48 AM