MOHD Tahir Symon memakaikan pangkat kepada anggota tentera di Majlis Perbarisan Ulung Pegawai Memerintah dan Upacara Pemakaian Pangkat di Kem Seri Pantai, Seberang Takir.
Oleh Nazdy Harun

Kuala Terengganu: Projek pembangunan Kem Seri Pantai Batalion 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di bawah projek ‘Army Care’ bernilai RM45 juta yang bermula Oktober tahun lalu bakal digunakan menjelang Oktober depan.

Pegawai Memerintah Batalion 18 RAMD Leftenan Kolonel Mohd Tahir Symon berkata, projek naik taraf itu merangkumi pembinaan balai pengawal, markas batalion, blok penginapan bujang, kompleks logistik, pejabat stor rinsar, pejabat kompeni A, B, C dan M, Wisma Bintara serta Wisma Perwira.

“Projek naik taraf bangunan baru dilihat mampu memberi nilai tambah dalam pengurusan kerja dan kehidupan pegawai serta anggota tentera yang bertugas.

“Projek ini merangkumi 90 peratus penaiktarafan membabitkan bangunan sama ada pengurusan atau kediaman di kem ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Ulung Pegawai Memerintah dan Upacara Pemakaian Pangkat kepada 68 anggota di Kem Seri Pantai Batalion 18 RAMD, Seberang Takir, di sini, semalam.

Katanya, pihaknya memberi amaran keras kepada semua anggota di kem berkenaan supaya menjauhi perilaku yang boleh menjejaskan imej pasukan seperti terbabit dalam jenayah dan menyertai Kumpulan Militan Negara Islam (IS).

“Pengurusan kem juga meletakkan sasaran sifar Indeks Jisim Badan (BMI) ke atas semua 498 pegawai serta anggota dan kini terdapat 10 anggota tidak melepasi BMI yang ditetapkan iaitu 26.9.

“Kita akan membantu menurunkan berat badan mereka dengan menjalani latihan khas yang disediakan dan sasarannya dalam tempoh dua minggu berat badan mereka akan kembali normal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 7:54 AM