HASAN (depan, empat kanan) menyerahkan Buku Garis Panduan Dan Prosedur Siasatan kepada Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK, Roslan Mahayuddin. Turut kelihatan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah (tiga dari kiri) serta Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Alias Ahmad (tiga dari kanan).
Oleh Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melancarkan Operasi Antipencatutan (Ops Catut) bagi membanteras golongan peniaga yang cuba mengaut keuntungan melampau dan tidak munasabah ketika pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April ini.

Matlamat utama operasi itu adalah untuk menjalankan penguatkuasaan pematuhan kepada Peraturan Mekanisme Margin Keuntungan Bersih.

Pada masa sama, pelancaran Operasi Antipencatutan menandakan bermulanya gerak gempur secara terancang penguatkuasaan terhadap aktiviti pencatutan GST.

Menurut Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hasan Malek kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga barang mahupun perkhidmatan dengan menggunakan alasan GST.

“Kita sedia maklum, pelaksanaan GST akan memberi kesan ke atas harga barang dan perkhidmatan. Secara tidak langsung, keadaan ini mencetuskan persepsi negatif berlakunya kenaikan harga yang tidak terkawal.

“Justeru, menjadi tanggungjawab kementerian untuk mengenal pasti dan mengenakan tindakan terhadap golongan peniaga yang mengeksplotasi harga,” katanya.

Sehubungan itu, bagi memperkasa Ops Catut pihak kementerian menubuhkan Unit Antipencatutan di Bahagian Penguat Kuasa dan di peringkat negeri.

Setakat ini kerajaan meluluskan pertambahan sebanyak 472 perjawatan kepada KPDNKK untuk kelancaran operasi berkenaan.

“Gerakan Ops Catut adalah tertumpu kepada semua peringkat perniagaan termasuk pengeluar, pengedar, pengimport, pemborong dan peruncit.

“Kami akan memulakan operasi dengan menggerakkan pemantauan ke atas lebih daripada 1,000 pengeluar serta pengedar barangan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hasan memberitahu Ops Catut berbeza daripada operasi yang pernah dilaksanakan KPDNKK sebelum ini.

“Mekanisme penguatkuasaan Ops Catut tertumpu kepada pengauditan dokumentasi dan rekod perniagaan syarikat.

“Operasi ke atas perbuatan mencatut memerlukan risikan pasaran bagi mengenalpasti amalan pasaran yang menjadi pendorong kepada pergerakan harga.

“Justeru, pihak kementerian juga memerlukan bantuan daripada orang ramai supaya membuat aduan sekiranya mendapati ada peniaga yang cuba menaikkan harga atas alasan GST,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi talian 03-8000 8000 / 1-800-886-800 atau e-emel kepada e-aduan@kpdnkk.gov.my jika terdapat sebarang aduan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:19 AM