Bentong: Kementerian Pengangkutan menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara bagi memantau semua aspek keselamatan berkaitan keselamatan jalan raya, rel, penerbangan dan juga maritim.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata penubuhan badan itu susulan daripada 51 pelan tindakan bagi penambahbaikan pengangkutan bas oleh panel penasihat bebas kemalangan di Genting Highlands dua tahun lepas.

“Beberapa mesyuarat diadakan berhubung perkara itu dan penubuhannya kini dalam peringkat akhir. Ia dikemukakan kepada Peguam Negara untuk penelitian sebelum dibawa ke Kabinet dan dibentangkan di Parlimen.

“Setakat ini kita juga mempunyai rangka dan garis panduan penubuhan badan itu selain soal pelantikan pengerusi dan anggota badan itu yang dianggotai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup program 1Komuniti 1JPJ (SKSJ) di Sekolah Menengah Seri Bentong, di sini, semalam.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah JPJ Malaysia Datuk Seri Ismail Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) Datuk Dr Tam Weng Wah.

Lembaga itu difahamkan berperanan menasihat, menyiasat, menganalisis serta melaporkan terus sebarang cadangan serta penambahbaikan kepada kerajaan berhubung isu berkaitan keselamatan pengangkutan di negara ini.

Selain itu ia juga berperanan meningkatkan lagi kesedaran orang ramai berhubung aspek sama.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan, peranan dan badan yang ditubuhkan itu nanti tidak bertindih dengan agensi sedia ada seperti JKJR dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Panel penasihat bebas sebelum itu diwujudkan berikutan nahas membabitkan bas dua tingkat di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos dua tahun lepas yang dianggap terburuk di negara ini menyebabkan 37 terbunuh manakala 16 lagi cedera.

Sementara itu katanya, bermula pada hari ini SKSJ yang diadakan JPJ dilaksanakan lebih bersifat mesra rakyat dan menawarkan lebih banyak program termasuk pemeriksaan kenderaan kereta dan motosikal selain nasihat undang-undang.

“Ia langkah mendekatkan rakyat dan JPJ dengan memudahkan khidmat untuk rakyat. Selama ini program ini hanya mudahkan pengambilan lesen, namun mulai hari ini kita tambah skop termasuk pemeriksaan kenderaan.

“Orang ramai tidak perlu risau menjalani pemeriksaan di sini kerana saya sudah meminta JPJ menggunakan lebih pendekatan mendidik rakyat berkenaan aspek keselamatan,” katanya.

Sempena program SKSJ yang diadakan di situ, 381 penduduk sekitar Bentong termasuk Orang Asli lulus ujian JPJ dan mendapat lesen motosikal B2. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 7:51 AM
Digital NSTP Subscribe