Kulim: Tindakan seorang buruh warga asing memakai cincin tahan karat mengundang padah apabila jari kelengkeng kirinya membengkak menyebabkan sepasukan anggota bomba terpaksa dipanggil untuk memotong cincin itu di Hospital Kulim, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa berusia 30-an yang bekerja di tapak pembinaan pergi ke wad kecemasan Hospital Kulim jam 11 malam kelmarin untuk membuang cincin itu selepas jari kelengkengnya membengkak, dipercayai kerana aliran darah tersekat.

Sumber berkata, sebelum itu mangsa yang melakukan kerja memasang longkang di tapak projek berkenaan tiba-tiba mendapati cincin dipakainya menjadi ketat apabila berubah bentuk, sekali gus menyekat aliran darah dan jari kelengkengnya membengkak.

“Mangsa kemudian datang ke wad kecemasan Hospital Kulim untuk membuang cincin berkenaan, namun usaha pihak hospital gagal lalu menghubungi pasukan bomba dan penyelamat untuk bantuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech Penolong Penguasa Bomba Mohd Azizi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Hospital Kulim jam 11.21 malam dan tiba di tempat kejadian bersama enam anggota.

Katanya, pihaknya mengambil masa 20 minit sebelum berjaya membuang cincin yang dipakai mangsa menggunakan pemotong khas sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut.

“Anggota bomba perlu melakukan kerja pemotongan itu dengan berhati-hati untuk mengelak kecederaan pada jari mangsa sebelum cincin berjaya dipotong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 9:55 AM