SIRUL (kanan) bersama Azilah (tengah) dibawa masuk ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009.
SIRUL (kanan) bersama Azilah (tengah) dibawa masuk ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009.
Kalidevi Mogan dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Malaysia mungkin berdepan kesukaran membawa pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Koperal Sirul Azhar Umar yang ditahan pegawai imigresen di Queensland, Australia, semalam.

Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam) Datuk Khairul Anuar Rahmat berkata, undang-undang Australia yang menentang hukuman mati jelas bertentangan dengan tuntutan Malaysia membawa pulang Sirul bagi menjalani hukuman gantung sampai mati.

“Walaupun Sirul ditahan atas kesalahan notis merah yang dikeluarkan Polis Antarabangsa (INTERPOL) kerana membunuh model sambilan Mongolia, Altantuya Shaariibuu, sembilan tahun lalu, saya yakin permohonan ekstradisi tidak akan berlaku.

“Australia secara terang-terangan menentang tindakan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap rakyat mereka di Indonesia kerana menyeludup dadah.

“Jadi adalah mustahil mereka akan membenarkan permohonan ekstradisi Sirul untuk menjalani hukuman mati,” katanya.

Katanya, biarpun menggunakan hubungan diplomatik, permohonan mengekstradisi Sirul adalah perkara hampir mustahil.

“Untuk makluman, Australia dikenali sebagai negara ‘keras kepala’. Mereka mahu tunjukkan bahawa kerajaan dan sistem perundangan mereka adalah terbaik selain turut mahu dikenali sebagai ‘polis dunia’,” katanya.

Katanya, imej kehakiman negara ini akan tercalar kerana keputusan dibaca ketika tertuduh utama tidak hadir ke mahkamah.

“Sepatutnya, keputusan itu tidak boleh dibacakan sehingga proses ekstradisi dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, semua pihak harus tahu bahawa kerajaan Australia memansuhkan hukuman mati sekali gus tidak mengiktiraf hukuman itu.

“Ia adalah satu proses yang sukar dan ini juga halangan terbesar buat Jabatan Peguam Negara untuk membawa pulang Sirul.

“Jika perundangan mereka menetapkan hukuman mati tidak diiktiraf, ia memberi gambaran bahawa usaha membawa pulang Sirul hampir mustahil,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, PDRM akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan ekstradisi Sirul ke Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 10:07 AM