SUBRAMANIAM (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Ketua Kampung Paya Pulai, Nordin   (dua kanan) dalam program misi bantuan banjir.
SUBRAMANIAM (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Ketua Kampung Paya Pulai, Nordin (dua kanan) dalam program misi bantuan banjir.

Temerloh: Seramai 80 kakitangan Asian Broadcasting Network Sdn Bhd (ABNxcess) menyertai misi bantuan banjir dengan bergotong-royong membersihkan Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Paya Pulai, di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ABNxcess S Subramaniam berkata, pihaknya memperuntukkan lebih RM20,000 bagi menyediakan bantuan makanan, lampin serta air mineral kepada penduduk Kampung Paya Pulai yang terjejas akibat banjir.

“Ia disampaikan kepada ketua kampung, Nordin Idris dan kami turut menyediakan sumbangan beg dan alat tulis kepada 250 murid sekolah dalam majlis sama,” katanya ditemui selepas program itu.

Katanya, kumpulan sukarelawan dikenali ‘Red Shirt’ ABNxcess turut bergotong-royong mengecat sebahagian dinding bangunan sekolah berkenaan.

“Sumbangan dan usaha ini diharapkan dapat meringankan beban mangsa banjir selain menyuntik semangat kepada mereka bangkit selepas musibah ini,” katanya.

Subramaniam berkata, sebelum misi bantuan banjir itu, pihaknya turut menghulurkan bantuan kewangan kepada kakitangan ABNxcess yang turut menjadi mangsa banjir.

“Usaha ini adalah antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Red Shirts’ ABNxcess kepada masyarakat yang kurang bernasib baik menerusi program ABN4U dan ia akan diteruskan pada masa akan datang.

“Selain misi bantuan banjir, kami turut melaksanakan pelbagai program CSR antaranya menyediakan perkhidmatan Internet Tanpa Wayar (WiFi) secara percuma kepada sekolah, rumah kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) terpilih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 9:08 AM