KERETA terbabit kemalangan terbakar.

Kuala Kangsar: Kereta dipandu Joeri Ramli, 34, yang rentung dalam kemalangan di Kilometer (KM) 254.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, semalam, diseret treler membawa muatan besi seberat 60 tan sejauh kira-kira 100 meter sebelum terbakar.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi, treler itu merempuh dua kenderaan lain sebelum menyeret kereta Honda Civic hingga terbakar menyebabkan Joeri Ramli, 34, rentung selepas tersepit dan gagal menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, rakannya yang duduk di sebelahnya, berjaya keluar menyelamatkan diri, tetapi parah akibat melecur di beberapa bahagian badan.

Pemandu treler jenis Volvo yang melarikan diri sejurus kejadian tidak cedera. Turut selamat kelindannya dan pemandu dua lagi kereta terbabit dalam kemalangan ngeri itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh berkata, siasatan awal mendapati Joeri bersama seorang rakan dalam perjalanan dari Ipoh ke Gerik, atas urusan kerja manakala treler itu dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang ke Pulau Pinang.

Menurutnya, mangsa yang maut berasal dari Bagan Serai, manakala rakannya dikenali sebagai Muhammad Nasrullah Abd Ghaffar, 29, tinggal di Ipoh dan kedua-duanya bekerja sebagai pemungut hutang syarikat penapis air.

“Siasatan mendapati ada kerja naik taraf pemasangan lampu jalan dilakukan di KM 256.9 arah utara dan lorong kiri ditutup menyebabkan lalu lintas menjadi perlahan.

“Treler itu memandu di lorong kiri di kawasan menuruni bukit selepas laluan ditutup membawa muatan 60 tan barangan besi. Ia dipercayai mengalami kerosakan brek menyebabkan ia hilang kawalan dan memasuki laluan kanan sebelum merempuh kereta dinaiki mangsa serta dua lagi kenderaan lain.

“Dua kenderaan lain yang dilanggar treler berkenaan terbabas ke kiri laluan manakala kereta mangsa diseret sehingga KM 254.8 iaitu sejauh kira-kira satu kilometer sebelum terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ghuzlan berkata, pemandu dan kelindan treler serta rakan mangsa sempat menyelamatkan diri manakala mangsa tersepit dalam kereta dipandunya dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat rentung.

“Kelindan treler yang berusia 39 tahun dan beralamat di Petaling Jaya, Selangor, mendakwa pemandunya dikenali sebagai Mohd Zaidi, 41, meninggalkan tempat kejadian sejurus kemalangan dan tidak dapat dihubungi.

“Polis menahan kelindan itu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 10:23 AM